Seperti
yang selalu saya lihat, bacaan Yasin yang dibuat sebanyak 3 kali itu
dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar. Mungkin ianya sesuai
dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar, tetapi bagaimana dengan
mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar lebih-lebih lagi bagi yang
tidak mahir membaca AlQuran bertajwid. Tidakkah itu sudah menjadi
tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam keadaan yang tenang. Apakah
bagus membaca AlQuran dalam keadaan tergesa-gesa dan salah tajwidnya?
Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa dan tidak faham apa yang dibaca
itu?
Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang
memberitahu tentang bacaan yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban ini
dan jika ada pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam nisfu
Syaaban yang dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu).
Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis dhaif boleh
dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan. Tetapi tidak
sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’
maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang
direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting
agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.
Namun
, dalam soal bacaan Yasin sebanyak 3 kali dalam nisfu Syaaban tetap
tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan tersebut tiada
ditunjukkan contoh langsung oleh nabi dan sahabat.
Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di
masjid-masjid apabila tibanya malam nisfu Syaaban sahaja? Mengapa perlu
menetapkan malam itu untuk membaca Yasin 3 kali dan berduyun-duyun
menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati
bersama.
Dan saya tidak berani mengatakan
amalan tersebut haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus
yang bukannya berasal dari nabi sudah dikira bid’ah dan dibimbangi
amalan itu akan menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak
berasas atau menambah dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.
Maka
sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan membaca Yasin atau
apa-apa sahaja bacaan AlQuran , tanpa perlu dikhususkan 3 kali dan
seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah TERTIB, TENANG dan
memberi keinsafan kepada kita dan bukannya semata-mata mahu mengejar
pahala sehingga membaca AlQuran dengan tergopoh dan salah tajwid dan
mengatakan sepatutnya melakukan bacaan Yasin 3 kali itu.
Pengertian nisfu Syaaban
Nisfu
dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah
bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban
iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.
Malam
Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas
malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi
saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah
hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah saw
telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan
sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku
melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan
bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata
dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg
akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu
dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung
pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”
Setelah
Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina
Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah
Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan
memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke
atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan
terhadap orang2 yg dengki.”
Hari nisfu
sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun
diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan
pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik
sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban
sebaik sahaja masuk maghrib)
Fatwa tentang merayakan malam Nisfu SyaabanBacaan yasin
Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam
nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah
Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan
Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin
pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan
Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas
bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan
bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak
diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa
yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masa kini tentang sahih
batilnya amalan ini.
Kita beramal dan
beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini
hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat
atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah . Amalan
mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang
sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa;
setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.
Kita
boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk
mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu
Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja
kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak
perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban.
Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di
mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di
masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah
s.w.t.
Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan
oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang
amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak
menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana
amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di
bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan
doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan
rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!
‘Solat Sunat’ Nisfu Syaaban
Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu
kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk
kamu.” [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu
yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang
undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]
Dalam
kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa
Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan
perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian
daripadanya, akan tertolak.”
Dalam Sahih
Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam
khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para
Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah
terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru
adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat
banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.
Ini
jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat
ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil
nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan
dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa
yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun
percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang
direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang
kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali
kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.
Para
Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf
selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana
telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam
bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan
lain-lain.
Antara amalan bid’ah yang direka
manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu
Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas
(dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis
dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak
boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat
doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan
semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar
alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim
ulama ini.
Beberapa riwayat tentang hal ini
telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan
lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah,
dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut
adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’
(rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin
Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain.
Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk
amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas
yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if
tersebut tidak dapat digunapakai.
Prinsip
asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh
al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah)
telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka
wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya
adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati
bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang
amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan
Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi
mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.
Sebagaimana
Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah
kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada
“Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian
jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan
(Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok
pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]
“Dan (katakanlah wahai Muhammad
kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu
berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim
yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku
berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala
keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar
kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]
“Maka
demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman
sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan
yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati
mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan
mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]
Banyak
lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang
menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk
kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang
diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan
inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang
demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula
kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.
Al-Hafiz
bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif
tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar –
“Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di
kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin
‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada
malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah
mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah
mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam
tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat
ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin
Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli
Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan
lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…
Imam
Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya
sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam
Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w)
ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”
Inilah
apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau
menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih
daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda
(R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).
Dalam
keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu
disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka
perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan
perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka
mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w:
“Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada
urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil
yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar
menjauhinya.
Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A)
menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah
meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui
seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi
perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi
perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam
tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada
orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi
mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala
Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia
berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya
(dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”
Al-Shaukani
(R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi:
‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu
Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah
al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi
segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan
katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang
yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui
bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad
hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga
diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka
dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui
asal-usulnya).
Di dalam kitab al-Mukhtasar,
beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan
Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu
Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya
dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).
Di
dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di
pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap
rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam
tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah).
Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali
setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga
adalah maudhu’.
Beberapa orang fuqaha’
telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan
lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam
ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai
bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”
Al-Hafiz
al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban
adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah
s.a.w.”
Imam al-Nawawi berkata di dalam
bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat
al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan
‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat
Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang
ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu
disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din,
atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini.
Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu
disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis
beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb
(sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”
Sheikh
al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah
menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa
riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar.
Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan
sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk
dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang.
Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda
yang mencari kebenaran.
Daripada ayat-ayat
Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah
jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara
bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau
dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang
ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat
Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang
diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu
`anhum).
Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya):
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
Dalam
Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata:
“Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat
untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat
untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian
daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan-berterusan.’”
Seandainya
dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah
yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai,
kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit
mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan
daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi Muhammad
s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk
bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya
dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di
mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.
Oleh
kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan
malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w
memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam
sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana
disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan
mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”
dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat)
disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya
yang telah lalu.”
Akan tetapi sekiranya
disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau
malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj,
dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus,
maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya
melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku
sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan
amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka
menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah
generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah,
radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat
Rasulullah s.a.w.
Sekarang kita telah membaca
sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat
daripada Rasulullah s.a.w mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan
kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan
bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah
satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan
waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang
tercela.
Samalah juga dengan sambutan malam
ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah
orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan
hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut,
berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar
Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan
ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak
diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua
puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas
dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara
paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling
buruk adalah perkara yang diada-adakan.”
Kita
memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk
berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan
dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad
s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.
Ulasan dan terjemahan fatwa : www.darulkautsar.com[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]
Rujukan :
1 – http://e-malabari.net/ugama/nisfusyaaban.htm
2 – http://www.darulkautsar.com
No comments:
Post a Comment