Urus kesakitan untuk cepat pulih
Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI

Dr. R. Gopinathan menunjukkan punca kesakitan di urat saraf yang boleh menjejaskan kehidupan individu.
PEPATAH ada mengatakan lain padang lain belalang. Begitu juga dengan rasa kesakitan yang dialami oleh setiap individu. Memang berbeza antara satu sama lain.Pakar Bius dan Pakar Pengurusan Penyakit Hospital Pantai, Dr. R. Gopinathan memberitahu, contohnya seperti reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang yang mengalami masalah patah pergelangan tangan.
”Ada yang menunjukkan rasa sakit yang sedikit. Ada pula yang akan menganggap keadaan menjadi teruk sekali,” katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Dr. Gopinathan, ini menunjukkan rasa sakit sebenarnya bergantung kepada daya ketahanan diri individu terhadap kecederaan atau luka. Sesetengah individu terlalu takut hingga menambah rasa kesakitan.
Jelasnya, dalam kes seperti itu hanya menerusi rawatan, ubat-ubatan dan nasihat yang berkaitan dapat memulihkan keadaan pesakit.
Justeru, setiap individu perlu pandai menguruskan kesakitan agar cepat pulih atau bertemu dengan doktor untuk mempelajari kaedah menguruskan rasa sakit.
Biasanya, kata Dr. Gopinathan kesan kesakitan yang dapat dilihat dengan mata kasar dikategorikan sebagai ringan.
”Penyakit ringan ini dijangka boleh sembuh dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sakit yang melibatkan urat saraf seperti sakit tengkuk, sakit belakang, sakit pinggang yang dihadapi hampir kebanyakan orang dewasa pula dikategorikan sebagai penyakit yang tidak boleh dilihat dengan jelas.
Kesakitan seperti itu biasanya kata beliau, akan melalui tempoh yang agak lama untuk dipulihkan.
”Ia juga akan turut memberikan kesan terhadap kehidupan peribadi seseorang . Pesakit itu mudah rasa cemas, tidak dapat tidur dan tidak yakin pada diri sendiri,” katanya.
Dr. Gopinathan berkata, ia akan menyebabkan seseorang itu menjadi murung, tidak mahu keluar rumah sehingga merasakan tidak ada langsung rawatan untuk membantunya pulih.
Bagaimanapun katanya, kerunsingan itu boleh diatasi jika mereka menemui doktor yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan penyakit.
”Di sini mereka akan mendapat nasihat untuk mencuba kaedah yang terbaik untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami,” katanya.
Sebagai contoh katanya, bukan semua sakit di bahagian pinggang itu akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit lain yang lebih ditakuti seperti buah pinggang atau kanser.
Beliau berkata, dengan adanya teknologi rawatan moden, penyakit ini dapat dipulihkan dan pesakit akan dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.
Kata beliau, terdapat juga rawatan lebih moden seperti laser yang mana tidak lagi memerlukan pembedahan sebagai rawatan.
Selain itu katanya, kaedah lain yang digunakan untuk mengurangkan sakit tengkuk dan belakang menggunakan radiofrequency ablation.
”Cara rawatan baru ini hanya dilakukan dalam tempoh beberapa jam sahaja. Selepas rawatan pesakit boleh terus pulang ke rumah,” katanya.
Beliau memberitahu, pesakit bukan sahaja akan diberikan ubat-ubatan, tetapi juga latihan fisioterapi dan sebagainya.
Dr. Gopinathan juga memberikan untuk hidup sihat seseorang itu perlu melakukan senaman regangan tangan yang boleh dilakukan sewaktu dalam keadaan duduk atau berdiri dan berjalan kaki menggunakan kasut yang sesuai dan menaiki tangga.
”Individu iuga perlu mengambil makanan yang menyihatkan dan elak daripada mengambil makanan lewat di waktu malam,” katanya.
Selain itu katanya, perlu juga berfikiran positif agar setiap penyakit yang dihadapi oleh seseorang akan sembuh dengan cepat.
”Cari rakan-rakan yang mempunyai penyakit yang sama supaya dapat dikongsi pengalaman agar dapat mengelak diri dari terus dalam keadaan runsing,” katanya.
Kata beliau, sebaiknya carilah apa sahaja hobi yang boleh diisi ketika waktu terluang supaya dapat mengelak daripada berfikir tentang penyakit yang dialami.
Selain itu, kena tenangkan fikiran supaya dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.
”Cuba biasakan diri dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian lepaskan secara perlahan-lahan supaya diri berada di dalam keadaan yang lebih tenang,” katanya.
Katanya, sebaik-baiknya cuba bersosial bagi mengelak diri daripada bersendirian atau berinteraksi dengan rakan baru menerusi laman sosial Facebook (FB).
Di samping itu, katanya, jangan menyalahkan diri sendiri atau orang lain di atas kesakitan yang dihadapi sebaliknya hadapi dengan tabah.
AKTIF…berenang antara aktiviti yang menggunakan banyak pergerakan.
Benarkah berehat dengan berbaring cara terbaik untuk menghilangkan kesakitan pinggang? Rupa-rupanya kaedah ini disarankan untuk satu atau dua hari saja kerana berbaring terlalu lama juga boleh menyebabkan sakit belakang bertambah teruk.
Jika kesakitan masih tidak berkurang, segeralah mencuba kaedah lain atau lebih baik berjumpa doktor supaya ia tidak berlanjutan dan menjejaskan kehidupan.
Boleh dikatakan semua orang pernah sakit belakang terutama di bahagian pinggang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dianggarkan 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Sakit belakang juga antara punca utama ketidakupayaan bekerja dan penyumbang besar kepada pengambilan cuti sakit.
Sakit belakang menduduki tangga kedua dalam masalah neurologikal
(sistem saraf), kata Pakar Bedah Tulang Belakang, Dr Siow Yew Siong.
Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf
sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan
darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan
sempurna.
Antara faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang ialah postur
(kedudukan) badan yang tidak betul, melakukan aktiviti di luar kebiasaan
dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif. Malah, terlalu banyak rehat
juga boleh menyebabkan kita mengalami sakit belakang kerana badan
manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai
sepanjang masa.Bahkan duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan kita sakit belakang kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian bawah tulang belakang. Tulang belakang adalah struktur yang boleh dilentur sehingga tahap tertentu. Inilah sebabnya kita boleh membongkok atau membengkokkan badan ke kiri dan kanan.
Ia terdiri daripada 33 tulang vertebra yang dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu vertebra servikal (tujuh tulang pertama bermula di bahagian bawah tengkorak), 12 tulang vertebra torasik, lima tulang vertebra lumbar (pada bahagian bawah belakang badan) serta lima tulang sakrum dan empat tulang koksiks yang bercantum.
Di antara setiap tulang ini ada satu cakera (diska) yang bertindak sebagai penyerap hentakan, menambah keanjalan tulang belakang untuk ‘dilentur’ ke kiri, kanan, depan dan belakang. Cakera ini juga berfungsi mengagihkan berat badan secara seimbang.
Antara punca sakit belakang yang biasa ialah masalah diska tergelincir pada tulang belakang akibat posisi badan tidak betul (apabila cakera terkeluar sedikit, ia akan menekan saraf yang menyebabkan rasa sakit); otot terlalu lemah atau tegang sehingga tidak dapat menyokong bentuk asal tulang belakang atau mengangkat benda berat dengan cara salah.
Sakit belakang dibahagikan kepada dua jenis iaitu sakit yang akut (selama beberapa hari hingga minggu) dan kronik jika kesakitan berlarutan melebihi tiga bulan. Kebanyakan sakit pinggang akut disebabkan masalah mekanikal semula jadi – terjadi akibat trauma pada bahagian pinggang atau penyakit seperti artritis.
Trauma ini pula katanya, boleh disebabkan kecederaan sukan, bekerja dalam rumah, berkebun atau sentakan mengejut seperti kemalangan.
Gejala dialami setiap pesakit berbeza; ada yang sekadar sakit otot atau sakit seperti ditikam yang menjalar dari satu bahagian ke bahagian lain; menyebabkan pergerakan terhad atau tidak boleh berdiri tegak.
Bagaimana sakit belakang terutama di bahagian pinggang boleh terjadi? Menurut Dr Siow, kekuatan tulang dan keanjalan otot merosot dengan peningkatan umur. Bahkan cakera yang terletak di antara setiap tulang pada tulang belakang juga mula kehilangan cecair dan keanjalannya; menyebabkan ia hilang kebolehan untuk menyerap hentakan.
“Kesakitan boleh berlaku dalam banyak keadaan contohnya mengangkat benda yang terlalu berat atau regangan berlebihan terjadi menyebabkan salah satu otot atau ligamen tergeliat atau kejang.
“Jika tulang belakang mengalami regangan atau mampatan keterlaluan, satu cakera boleh pecah atau tertolak keluar. Cakera ini akan memberi tekanan kepada lebih 50 saraf yang bercabang daripada saraf tunjang.
“Apabila akar saraf ini terhimpit atau mengalami keradangan, kita akan mengalami rasa sakit. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada saraf mana yang terhimpit atau radang.
Selain itu, bagi masalah sakit pinggang, ia juga boleh disebabkan masalah cakera, artritis, osteoporosis atau lain-lain penyakit tulang,” katanya.
Antara faktor penyumbang sakit belakang ialah:
Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi
petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi
kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil
atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.
Siapa yang boleh mendapat sakit belakang atau sakit pinggang? Semua
orang tanpa mengira peringkat umur dan risiko mendapatnya meningkat
dengan pertambahan umur.Bagaimanapun, masalah ini lebih kerap berlaku pada lingkungan umur 30 hingga 50 tahun; disebabkan proses penuaan dan gaya hidup yang tidak aktif.
Antara masalah yang sering dikaitkan dengan sakit pinggang ialah kerosakan cakera, degenerasi (kemerosotan) tulang belakang (ia menyebabkan kesakitan belakang ketika bangun tidur atau selepas berjalan lama) dan stenosis spina (juga ada kaitan dengan kesakitan akibat masalah cakera).
Diagnosis dan rawatan
Masalah sakit belakang boleh dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini seperti sinar-X, diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam cakera) dan tomografi komputer (CT) adalah kaedah cepat untuk mengetahui jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan pada mana-mana tulang belakang.
Manakala ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf, otot, ligamen dan salur darah. Imbasan tulang pula adalah untuk mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit pada tulang belakang.
“Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan ialah untuk mengawal kesakitan, mengurangkan keradangan, mengembalikan fungsi dan kekuatan bahagian belakang serta mencegah kecederaan daripada berulang.
“Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan; membantu sesetengah pesakit untuk bergerak. Sejurus selepas mengalami trauma, pesakit seharusnya menekap pek ais yang dibalut dengan tuala pada bahagian sakit selama 20 minit beberapa kali sehari.
“Selepas dua atau tiga hari melakukan kaedah ini, tuam bahagian berkenaan dengan tuala atau pek panas untuk seketika bagi merehatkan otot dan merangsang aliran darah.
Mandi air suam juga boleh membantu merehatkan otot.
“Selain itu anda juga boleh berehat di katil (baring) tetapi hanya untuk satu atau dua hari saja. Berehat (baring) boleh membuatkan sakit belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah beku pada kaki. Pesakit seharusnya kembali melakukan aktiviti harian secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya, bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan untuk postur dan otot.
Doktor juga akan memberikan ubat untuk merawat sakit belakang akut dan kronik. Selain itu terapi intervensi (termasuklah suntikan ubat bius steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural.
Pembedahan adalah pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak berjaya mengurangkan kesakitan. Dapatkan pandangan kedua jika anda disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang lebih mudah dan berkesan.
Pencegahan
Bolehkah sakit belakang dielakkan? Ya. Sakit belakang yang disebabkan postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan) biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:
No comments:
Post a Comment