
AKTIF…berenang antara aktiviti yang menggunakan banyak pergerakan.
BANYAKKAN berehat, supaya sakit pinggang segera berkurangan. Ini
antara cara yang dinasihatkan doktor untuk mengatasi masalah sakit
pinggang tetapi makin lama baring berehat, makin sakit pula jadinya.
Ketika berbaring kesakitan terasa hilang perlahan-lahan tetapi kembali
mengejut apabila cuba bangun atau menggerakkan badan.
Benarkah berehat dengan berbaring cara terbaik untuk menghilangkan
kesakitan pinggang? Rupa-rupanya kaedah ini disarankan untuk satu atau
dua hari saja kerana berbaring terlalu lama juga boleh menyebabkan sakit
belakang bertambah teruk.
Jika kesakitan masih tidak berkurang, segeralah mencuba kaedah lain
atau lebih baik berjumpa doktor supaya ia tidak berlanjutan dan
menjejaskan kehidupan.
Boleh dikatakan semua orang pernah sakit belakang terutama di
bahagian pinggang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dianggarkan
80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja
dan aktiviti harian terganggu. Sakit belakang juga antara punca utama
ketidakupayaan bekerja dan penyumbang besar kepada pengambilan cuti
sakit.
Sakit belakang menduduki tangga kedua dalam masalah neurologikal
(sistem saraf), kata Pakar Bedah Tulang Belakang, Dr Siow Yew Siong.
Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf
sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan
darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan
sempurna.
Antara faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang ialah postur
(kedudukan) badan yang tidak betul, melakukan aktiviti di luar kebiasaan
dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif. Malah, terlalu banyak rehat
juga boleh menyebabkan kita mengalami sakit belakang kerana badan
manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai
sepanjang masa.
Bahkan duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan kita sakit belakang
kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian
bawah tulang belakang. Tulang belakang adalah struktur yang boleh
dilentur sehingga tahap tertentu. Inilah sebabnya kita boleh membongkok
atau membengkokkan badan ke kiri dan kanan.
Ia terdiri daripada 33 tulang vertebra yang dibahagikan kepada tiga
jenis, iaitu vertebra servikal (tujuh tulang pertama bermula di bahagian
bawah tengkorak), 12 tulang vertebra torasik, lima tulang vertebra
lumbar (pada bahagian bawah belakang badan) serta lima tulang sakrum dan
empat tulang koksiks yang bercantum.
Di antara setiap tulang ini ada satu cakera (diska) yang bertindak
sebagai penyerap hentakan, menambah keanjalan tulang belakang untuk
‘dilentur’ ke kiri, kanan, depan dan belakang. Cakera ini juga berfungsi
mengagihkan berat badan secara seimbang.
Antara punca sakit belakang yang biasa ialah masalah diska
tergelincir pada tulang belakang akibat posisi badan tidak betul
(apabila cakera terkeluar sedikit, ia akan menekan saraf yang
menyebabkan rasa sakit); otot terlalu lemah atau tegang sehingga tidak
dapat menyokong bentuk asal tulang belakang atau mengangkat benda berat
dengan cara salah.
Sakit belakang dibahagikan kepada dua jenis iaitu sakit yang akut
(selama beberapa hari hingga minggu) dan kronik jika kesakitan
berlarutan melebihi tiga bulan. Kebanyakan sakit pinggang akut
disebabkan masalah mekanikal semula jadi – terjadi akibat trauma pada
bahagian pinggang atau penyakit seperti artritis.
Trauma ini pula katanya, boleh disebabkan kecederaan sukan, bekerja
dalam rumah, berkebun atau sentakan mengejut seperti kemalangan.
Gejala dialami setiap pesakit berbeza; ada yang sekadar sakit otot
atau sakit seperti ditikam yang menjalar dari satu bahagian ke bahagian
lain; menyebabkan pergerakan terhad atau tidak boleh berdiri tegak.
Bagaimana sakit belakang terutama di bahagian pinggang boleh terjadi?
Menurut Dr Siow, kekuatan tulang dan keanjalan otot merosot dengan
peningkatan umur. Bahkan cakera yang terletak di antara setiap tulang
pada tulang belakang juga mula kehilangan cecair dan keanjalannya;
menyebabkan ia hilang kebolehan untuk menyerap hentakan.
“Kesakitan boleh berlaku dalam banyak keadaan contohnya mengangkat
benda yang terlalu berat atau regangan berlebihan terjadi menyebabkan
salah satu otot atau ligamen tergeliat atau kejang.
“Jika tulang belakang mengalami regangan atau mampatan keterlaluan,
satu cakera boleh pecah atau tertolak keluar. Cakera ini akan memberi
tekanan kepada lebih 50 saraf yang bercabang daripada saraf tunjang.
“Apabila akar saraf ini terhimpit atau mengalami keradangan, kita
akan mengalami rasa sakit. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada saraf
mana yang terhimpit atau radang.
Selain itu, bagi masalah sakit pinggang, ia juga boleh disebabkan
masalah cakera, artritis, osteoporosis atau lain-lain penyakit tulang,”
katanya.
Antara faktor penyumbang sakit belakang ialah:
Obesiti
Merokok
Tekanan
Keadaan fizikal tidak elok
Postur badan yang salah
Posisi tidur tidak elok
Tiada sokongan daripada tilam ketika tidur
Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi
petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi
kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil
atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.
Siapa yang boleh mendapat sakit belakang atau sakit pinggang? Semua
orang tanpa mengira peringkat umur dan risiko mendapatnya meningkat
dengan pertambahan umur.
Bagaimanapun, masalah ini lebih kerap berlaku pada lingkungan umur 30
hingga 50 tahun; disebabkan proses penuaan dan gaya hidup yang tidak
aktif.
Antara masalah yang sering dikaitkan dengan sakit pinggang ialah
kerosakan cakera, degenerasi (kemerosotan) tulang belakang (ia
menyebabkan kesakitan belakang ketika bangun tidur atau selepas berjalan
lama) dan stenosis spina (juga ada kaitan dengan kesakitan akibat
masalah cakera).
Diagnosis dan rawatan
Masalah sakit belakang boleh dikesan melalui sejarah perubatan dan
pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini
seperti sinar-X, diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam
cakera) dan tomografi komputer (CT) adalah kaedah cepat untuk mengetahui
jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan
pada mana-mana tulang belakang.
Manakala ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi
mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf,
otot, ligamen dan salur darah. Imbasan tulang pula adalah untuk
mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit
pada tulang belakang.
“Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh
dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan ialah untuk mengawal
kesakitan, mengurangkan keradangan, mengembalikan fungsi dan kekuatan
bahagian belakang serta mencegah kecederaan daripada berulang.
“Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas boleh
mengurangkan kesakitan dan keradangan; membantu sesetengah pesakit untuk
bergerak. Sejurus selepas mengalami trauma, pesakit seharusnya menekap
pek ais yang dibalut dengan tuala pada bahagian sakit selama 20 minit
beberapa kali sehari.
“Selepas dua atau tiga hari melakukan kaedah ini, tuam bahagian
berkenaan dengan tuala atau pek panas untuk seketika bagi merehatkan
otot dan merangsang aliran darah.
Mandi air suam juga boleh membantu merehatkan otot.
“Selain itu anda juga boleh berehat di katil (baring) tetapi hanya
untuk satu atau dua hari saja. Berehat (baring) boleh membuatkan sakit
belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami
tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah
beku pada kaki. Pesakit seharusnya kembali melakukan aktiviti harian
secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya, bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk
mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya
sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman
yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau
menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan
untuk postur dan otot.
Doktor juga akan memberikan ubat untuk merawat sakit belakang akut
dan kronik. Selain itu terapi intervensi (termasuklah suntikan ubat bius
steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural.
Pembedahan adalah pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak
berjaya mengurangkan kesakitan. Dapatkan pandangan kedua jika anda
disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang
lebih mudah dan berkesan.
Pencegahan
Bolehkah sakit belakang dielakkan? Ya. Sakit belakang yang disebabkan
postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan)
biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:
Kerap bersenam untuk meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot.
Antara senaman yang baik ialah senaman regangan, yoga, tai chi, berenang
atau pilates. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging,
berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali
seminggu selama 20 minit setiap sesi.Tingkatkan kekuatan anda dengan
senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang,
paha dan pinggul. Senaman menguatkan otot kaki dan bahu membantu
mengurangkan risiko kecederaan ketika mengangkat benda berat.Buat
pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting
untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko
kecederaan.
Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja,
terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan
ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.Elakkan duduk terlalu lama dan
buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila
duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan
kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.
Amalkan prinsip ergonomik – sama ada di rumah atau tempat kerja
boleh mengurangkan risiko kecederaan. Ini termasuklah menggunakan kerusi
yang mempunyai penyandar mengikut bentuk semula jadi tulang
belakang.“Tulang belakang kita mempunyai lengkuk seperti bentuk S
terbalik dan sebarang aktiviti yang mengubah lengkuk semula jadi ini,
jika dilakukan untuk jangka masa lama, boleh menyebabkan
ketidakselesaan. Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan sakit
belakang,” kata Dr Siow.
Amalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan masalah berlebihan
berat badan, terutama di bahagian pinggang. Ini kerana kegemukan di
pinggang akan memberi lebih kesan kepada otot di bahagian berkenaan.
Berhenti merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke
bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera lebih mudah
mengalami kemerosotan.
Tidur di atas tilam yang boleh memberi
sokongan kepada badan, tidak terlalu keras atau lembik sehingga anda
‘tenggelam’ apabila baring di atasnya. Tidur dalam posisi yang
membolehkan anda mengekalkan lengkungan tulang belakang yang
normal.Tilam yang tidak memberi sokongan kepada badan akan mendorong
kita untuk tidur dalam posisi kurang baik, membuatkan otot meregang dan
tidak membantu penjajaran tulang belakang – semuanya menyumbang kepada
masalah sakit belakang.“Tilam yang baik sepatutnya memberikan sokongan
kepada lengkuk semula jadi tulang belakang. Kajian menunjukkan tilam
yang separa empuk boleh membantu mengurangkan kesakitan belakang. Jika
tilam terlalu keras akan memberi lebih tekanan pada belakang dan ini
boleh memburukkan keadaan,” katanya.