Sunday, 19 October 2014

HUKUM JAMPI DAN PERBOMOHAN

Pengenalan
Terdapat beberapa istilah penting yang wujud dalam amalan perubatan tradisional dan perbomohan ini. Maka, wajar kita memahami beberapa istilah ini terlebih dahulu sebelum kita berpindah kepada hukum-hukum berkaitan amalan ini menurut Islam. Pertama , bomoh, dukun, atau pawang yang merujuk kepada pengamal perubatan tradisional di dalam masyarakat Melayu yang menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai sumber perubatan serta menggunakan kepercayaan roh dan semangat alam sekeliling bagi mengubati pesakiti atau aktiviti-aktiviti lazim masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu.  Kedua, sihir atau ilmu hitam. Menurut Syeikh al Jazairi, sihir ialah suatu ilmu ghaib yang boleh dipelajari oleh seseorang yang didalangi oleh syaitan bagi tujuan keseronokan diri atau menyakiti orang lain dengan perantaraan makhluk halus.  Sihir atau ilmu hitam lazimnya digunakan untuk menyakiti atau mempengaruhi akal, hati dan badan orang yang disihir secara tersembunyi ( ghaib ).
Ketiga, jampi, mentera atau di dalam bahasa Arab disebut “al Ruqyah”, ia diertikan sebagai mendoakan kesembuhan pesakit dengan kesejahteraan dan beberapa bacaan-bacaan tertentu. Ia merujuk kepada bacaan-bacaan yang memiliki ciri-ciri berdoa dan memohon perlindungan dan pertolongan yang dibacakan terhadap mereka yang sakit dengan tujuan untuk merawat daripada penyakit seperti demam, disengat ular, dirasuk jin, syaitan dan sebagainya.  Keempat, tangkal dan azimat, kedua-duanya merujuk kepada sesuatu benda yang digantung atau dipakaikan pada diri seseorang seperti rantai atau gelang di mana mereka yang memakai azimat tersebut menyakini bahawa azimat tersebut berkuasa untuk melindungi dirinya daripada kesusahan dan kejahatan yang berlaku.

1) Hukum perbomohan
Pertama : Bomoh hukumnya harus
Hukum perbomohan adalah harus, namun terdapat beberapa syarat-syarat yang harus dipatuhi agar mana-mana individu yang terlibat dalam perbomohan ini tidak tersesat dan jauh daripada perbuatan mensyirikan Allah SWT, antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak kepada individu yang bergelar bomoh sebagaimana garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysis ( JAKIM ) adalah :
  1. Tujuan atau matlamat seorang bomoh adalah semata-mata untuk mengubati pesakit daripada penyakit seperti demam, ganguan makhluk halus dan lain-lain, serta mewujudkan keharmonian masyarakat dan kerukunan hidup dalam rumahtangga bukannya untuk menzalimi atau menganiya orang lain.
  2. Seorang bomoh hendaklah mengubati pesakit dengan menggunakan ayat-ayat al Quran atau doa-doa syifa yang diajar oleh Rasulullah SAW atau zikir-zikir serta asma’ al Husna dengan hanya mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT semata-mata. Penggunaan sihir, jin, atau syaitan adalah diharamkan dan dilarang keras oleh Allah SWT.
  3. Seorang bomoh perlu meyakini bahawa kesembuhan dan kesihatan hanya datang daripada Allah SWTdan dia hanya berusaha menyembuhkan dengan mengharapkan pertolongan Allah SWT.
  4. Bomoh juga ialah hendaklah seorang yang bergama Islam, baligh serta berakal, apa yang penting bomoh itu seorang yang mengamalkan segala tuntutan kewajipan syarak seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.Begitu juga, dia seorang yang baik akhlaknya serta mempunyai sahsiah yang luhur.
  5. Seorang bomoh juga tidak boleh meramalkan apa jua perkara yang akan berlaku pada masa akan datang sama ada baik atau buruk, begitu juga dia tidak boleh memberi tangkal atau azimat kepada pesakit dengan tujuan tangkal atau azimat tersebut boleh melindungi dirinya daripada bahaya.
Oleh yang demikian, syarat-syarat di atas wajib dipatuhi oleh seseorang yang dianugerahkan Allah SWT ilmu untuk mengubat pesakit atau membantu masyarakat dengan niat dan tujuan yang baik, selagi mana pengamalan seorang bomoh itu tidak bercanggah dengan syariat Islam serta tidak membawa kepada kekufuran, maka ia adalah diharuskan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW juga melakukan ruqyah atau mendoakan pesakit dengan beberapa bacaan agar pesakit tersebut dikurangkan daripada kesakitan dan diberi kesembuhan oleh Allah SWT.
Dalam satu riwayat Imam al Bukhari, Thabit telah berkata kepada Anas, ” Wahai Abu Hamzah, saya mengalami kesakitan”. Lalu jawab Anas, ” Tidakkah engkau mahu aku merawat engkau dengan ruqyah ( jampi ) Rasulullah SAW?”. Maka jawab Thabit, ” Sudah tentu”, lalu Anas membacakan jampi berikut:
(( اللهم رب الناس ، مذهب البأس ، اشف انت الشافي ، لا شافي إلا انت ، اشف شفاء لا يغادر سقما ))
Ya Allah Tuhan sekalian manusia, Tuhan yang menghilangkan penderitaan, berikanlah kesembuhan, Engkaulah zat yang menyembuhkan, tidak ada penyembuh ( yang sebenar ) melainkan Engkau, kesembuhan yang tidak akan meninggalkan sebarang kesakitan.

Kedua : Bomoh hukumnya haram
Perbomohan juga boleh dihukumkan haram bahkan boleh jatuh kepada kufur sekiranya seseorang bomoh itu melakukan perkara-perkara yang bertentangan dan bercanggah dengan syariat Islam, antaranya seperti berikut:
  1. Seorang bomoh menggunakan ilmunya untuk tujuan riak atau bermegah-megah dengan menunjukkan kehebatannya atau dengan tujuan memecah belahkan masyarakat atau perkara yang dianggap boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan individu.
  2. Menggunakan makhluk-makhluk halus sebagai perantaraan, atau sahabat, atau pendamping, atau pembantu seperti jin, iblis, syaitan serta kuncu-kuncunya dalam membantunya merawat pesakit atau perkara yang lain.
  3. Bomoh tersebut bukan beragama Islam seperti bomoh siam, atau beragama Islam tetapi meninggalkan kewajipan yang diwajibkan oleh Allah SWT. Dia juga tidak mempunyai akhlak yang baik serta sahsiah yang keji.
  4. Menurun, atau memuja makhluk-makhluk halus untuk mendapatkan bantuan dengan menggunakan alat-alat seperti kain kuning, kemenyan untuk memanggil mereka, atau membaca jampi dengan nama-nama jin atau syaitan.
  5. Apa jua perkara yang dianggap sebagai mensyirikkan Allah SWT dan mengandungi unsur-unsur sihir yang jelas betentangan dengan akidah dan hukum-hukum syarak.
Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al Fathir, ayat 6 :
Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka anggaplah ia musuh (mu) kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak pengikut-pengikutnya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a  katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang menemui bomoh atau orang pandai  yang jelas mensyirikkan Allah lalu dia membenarkan segala pengakuan bomoh tersebut, maka dia telah kufur dengan  apa yang diturunkan ke atas Nabi SAW”

2) Hukum sihir dan ilmu hitam.                                       
            Seperti yang telah dijelaskan, sihir dan ilmu hitam kedua-dua merupakan ilmu ghaib yang secara jelas menggunakan perantaraan makhluk halus seperti jin, iblis dan syaitan bagi tujuan jahat atau menganiya seseorang. Kedua-duanya merupakan amalan yang bersifat kufur dan keji yang wajib dihapuskan daripada masyarakat kerana ia mendatangkan kemudaratan yang serius kepada masyarakat dan individu. Antara sihir yang diamalkan di kalangan masyarakat melayu seperti ilmu kebal, penunduk, pengasih, pukau, penunduk, santau dan sebagainya.
Oleh yang demikian para ulama bersepakat mengatakan sihir dan seumpamanya seperti ilmu hitam, santau, santet dan sebagainya adalah haram serta kufur dan salah satu daripada dosa besar. Ini kerana kedua-dua ilmu tersebut dan cabang-cabangnya jelas menggunakan unsur-unsur syirik seperti pemujaan jin, syaitan serta meminta pertolongan mereka bagi melaksanakan niat dan tujuan yang buruk dan keji. Tambahan pula ia menolak ajaran Islam dan al Quran secara terangan. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT di dalam surah al Baqarah, ayat 102:
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud “Jauhilah kamu daripada tujuh perkara yang membinasakan iaitu syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, mengambil riba, mengambil harta anak yatim, lari dari medan peperangan, dan melakukan qazaf“[13]

Jumhur Fuqaha menegaskan bukan sahaja orang yang menggunakan sihir hukumnya haram tetapi mengajarkannya atau mempelajarinya juga dihukumkan haram. Ibnu Syuja’ menyatakan orang yang melakukan sihir dianggap sebagai orang murtad sama ada lelaki atau perempuan[14].

3) Hukum jampi, mentera dan ruqyah
            Jampi, mentera dan ruqyah merupakan satu entiti yang sama iaitu merujuk kepada sesuatu bacaan yang tertentu sama ada diambil daripada ayat-ayat al Quran atau nama-nama Allah SWT atau doa-doa syifa atau tidak. Tujuan jampi dan ruqyah ini hanya digunakan untuk mengubati pesakit khususnya, dan ada juga yang digunakan untuk tujuan lain seperti menyihir atau menyakiti seseorang[15].

Pertama : Jampi dan ruqyah yang diharuskan
Jampi, mentera dan ruqyah yang diharuskan di dalam Islam adalah segala bentuk jampi dan ruqyah yang bersumberkan daripada amalan-amalan Nabi Muhammad SAW dan segala ruqyah yang diajarkan oleh malaikat Jibrail a.s kepada Nabi Muhammad SAW[16]. Para ulama bersepakat mengaharuskan jampi dan ruqyah daripada sumber ini. Justeru itu, seorang bomoh Islam atau orang Islam yang lain sepatutnya melazimkan dirinya dengan ruqyah-ruqyah Rasulullah SAW kerana ia mengandungi doa dan permohonan perlindungan kepada Allah SWT dalam bentuk kata-kata dan ayat yang paling baik. Oleh itu, mereka yang mengamalkan jampi dan ruqyah Rasulullah SAW ini akan mendapat dua ganjaran[17] iaitu ganjaran kerana telah melakukan zikir serta ganjaran kerana telah mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW dengan mengamalkan doa-doa baginda.
Di antara jampi dan ruqyah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW mengandungi ayat-ayat al Quran seperti surah al Ikhlas, surah al Fatihah, al Ma’uzataini, serta zikir-zikir dan doa-doa syifa yang mengungkapkan maksud-maksud yang tersirat. Dalam hal ini, Allah SWT menyeru kepada hamba-hamba-Nya agar memperbanyakkan doa memohon pertolongan Allah SWT dalam apa jua perkara, firman Allah SWT dalam surah al Ghafir ayat 60:
Maksudnya : Dan Tuhanmu berfirman “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan aku kabulkan bagimu


Terdapat banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengajarkan tentang bacaan-bacaan ruqyah sebagai pelindung diri daripada sebarang penyakit dan gangguan syaitan, maka ruqyah seperti ini adalah diharuskan dan menepati sunnah Rasulullah SAW, antaranya :
Hadis Abdullah Bin Amr Bin al ‘As r.a, sabda Rasulullah SAW “Bila seorang kamu takut ketika tidur, maka bacalah doa,
أعوذ بكلمات الله التامة من غضبه وعذابه وشر عباده ومن همزات الشيطان وأن يحضرون
Nescaya tidak terkena mudaratnya”[18]

Hadis ‘Aisyah r.a katanya, “Apabila Rasulullah SAW didatangi seorang pesakit, baginda SAW akan berdoa dengan membaca,
(( اللهم رب الناس ، مذهب البأس ، اشف انت الشافي ، لا شافي إلا شفاؤك ، شفاء لا يغادر سقما ))
Ya Allah Tuhan sekalian manusia, Tuhan yang menghilangkan penderitaan, berikanlah kesembuhan, Engkaulah zat yang menyembuhkan, tidak ada penyembuh ( yang sebenar ) melainkan Engkau, kesembuhan yang tidak akan meninggalkan sebarang kesakitan

Kedua : Jampi dan ruqyah yang diharamkan
Terdapat juga ruqyah dan jampi yang tidak diharuskan dan diharamkan di dalam Islam apabila jelas setiap bacaannya bertentangan dengan syariat Islam, antaranya :
  1. Jampi dan ruqyah yang menggunakan bahasa yang tidak difahami atau bercampur aduk antara kebenaran dan kepalsuan[19].
  2. Terdapat unsur-unsur syirik dan pemujaan kepada jin dan syaitan untuk mendapatkan pertolongan.
  3. Melibatkan bacaan-bacaan yang memohon perlindungan kepada kuasa jin dan syaitan, berdoa memohon selain daripada Allah SWT[20].
Antara jampi-jampi dalam masyarakat Melayu yang diwarisi daripada kepercayaan anisme dan Hindu, lalu dimasukkan unsur-unsur Islam adalah seperti mentera pakaian diri, mentera pengasih, mentera pendinding, mentera kecantikan dan sebagainya[21]. Namun jampi-jampi seperti ini tidak diharuskan kerana ia bercampur aduk dengan istilah-istilah Islam dengan perkataan-perkataan yang sukar difahami maksudnya, tambahan pula tujuannya menyimpang daripada kebaikan bahkan lebih kepada keseronokan diri .

Justeru itu, menurut Imam Ibn Hajar, para ulama telah bersepakat mengenai keharusan melakaukan jampi, mentera dan ruqyah dengan mematuhi tiga syarat[22] iaitu :
1)      Jampi tersebut hendaklah diadunkan daripada ayat-ayat al Quran atau Asma Allah al Husna, atau doa-doa syifa yang diajarkan Rasulullah SAW.
2)      Hendaklah bacaan-bacaan jampi itu di dalam bahasa arab atau bahasa yang mudah difahami maknanya.
3)      Mereka yang melakukan jampi, harus beri’tiqad bahawa Allah SWT sahajalah yang berkuasa memberi kesan dan kesembuhan.
Oleh itu, segala jampi dan ruqyah yang jelas mengandungi unsur-unsur syirik, pemujaan roh, jin dan syaitan, atau mencampur adukkan ayat al Quran atau nama-nama Allah SWT dengan bacaan-bacaan yang songsang, maka ia jelas ditolak dan diharamkan kerana membawa kepada kekufuran dan menghina ajaran Islam. Ibnu Mas’ud dalam satu riwayat berkata, Rasulullah SAW telah bersabda :
إن الرقي والتمائم والتولة شرك
Sesungguhnya jampi mentera ( yang batil ) tangkal dan tiwalah[23] adalah perkara syirik

Allah SWT juga menegaskan di dalam al Quran melalui surah al Luqman ayat 13 yang bermaksud ” Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa memberinya pengajaran kepadanya, “Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah sebenar-benar kezaliman yang besar”

4) Hukum tangkal dan azimat
            Penggunaan tangkal dan azimat telah bermula sejak zaman Arab Jahiliyyah lagi di mana mereka mempercayai objek-objek tersebut mempunyai kuasa melindungi mereka daripada musibah. Menurut Imam Munziri, azimat dan tangkal merujuk kepada batu manik (al Kharazah) yang digantung atau dipakai pada diri dan mempercayai azimat tersebut berkuasa menolak kesusahan daripada diri mereka[24].
Ibn al Athir menyatakan al Tamimah yakni tangkal biasanya diperbuat daripada batu-batu manik di mana orang-orang Arab biasa memakaikannya pada anak-anak mereka dengan tujuan melindungi mereka daripada sihir. Amalan ini berterusan sehingga meresap ke dalam masyarakat Melayu, di mana apabila berlaku ganguan makhluk halus atau sakit atau buatan orang,  seseorang diberikan tangkal oleh bomoh lazimnya untuk dipakai bagi melindugi dirinya dan keluarganya daripada kejahaan dan keburukan. Ini kerana mereka mempercayai tangkal dan azimat tersebut mempunyai kuasa menolak segala bentuk kejahatan dan kesusahan. Perkara ini jelas membawa kepada kesyirikan kerana mempercayai objek tersebut lebih berkuasa daripada kekuasaan Allah SWT.

Oleh itu, terdapat dua jenis azimat dan tangkal yang biasa diamalkan di kalangan masyarakat Melayu iaitu:

1) Azimat dan tangkal yang diperbuat daripada ayat-ayat al Quran, nama-nama Allah, serta doa-doa zikirullah yang digantung atau ditulis di atas kertas-kertas[25]. Termasuk juga dalam katogeri ini, objek-objek yang digantung di hadapan rumah, di dalam kereta atau di mana-mana tempat seperti menggantung ayat-ayat al Quran, ayat kursi, al fatihah dan sebagainya.
Sekiranya mereka yang melakukan amalan ini dengan beri’tiqad bahawa objek-objek tersebut mempunyai kuasa untuk memelihara mereka, kenderaan, dan rumah mereka daripada bencana, atau musibah atau kejahatan, maka dihukumkan syirik dan haram kerana mereka mempercayai dengan meletakkan ayat-ayat tersebut akan menjauhkan dirinya daripada keburukan[26]. Tetapi, jika tujuan mereka menggantungkan atau meletakkan ayat-ayat tersebut sebagai peringatan kepada diri mereka supaya sentiasa mengingati Allah SWT atau mengamalkan bacaan-bacaannya atau sebagai panduan pengajaran dan penghafazan, maka ia diharuskan selagi mana tujuannya tidak menyimpang.

2) Tangkal dan azimat yang diperbuat daripada bahan-bahan seperti kain hitam, atau kuning atau sebagainya yang diletakkan di dalamnya batu, atau rambut, atau objek-objek lain yang dilihat mempunyai kuasa atau juga berbentuk rantai-rantai manik yang dijampi dengan bacaan-bacaan tertentu[27], maka kesemua tangkal dan azimat jenis ini adalah perbuatan syirik dan diharamkan oleh Islam, kerana tujuannya hanaya satu sebagai pendinding dan pelindung diri daripada ganguan sihir, jin dan makhluk halus atau apa saja yang boleh mendatangkan bala bencana.
Oleh yang demikian, setiap penggunaan tangkal dan azimat walaupun ianya berbentuk kalimah-kalimah suci seperti ayat-ayat al Quran, zikir-zikir atau Asma al Husna, maka tujuannya tidak lain hanya sebagai pelindung diri daripada kejahatan dan keburukan, maka secara tidak langsung mereka mempercayai bahawa objek-objek tersebut mempunyai kuasa melindungi mereka lebih-lebih lagi jika diperbuat daripada ayat-ayat suci. Sepatutnya mereka mempercayai dan meyakini kekuasaan pencipta ayat-ayat tersebut iaitu Allah SWT yang hanya boleh memberi kesan yang baik atau buruk. Maka adalah terlebih baik bagi mereka memahami dan mengamalkan setiap bacaan ayat-ayat al Quran, nama-nama Allah SWT dan zikir sebagai perlindungan diri mereka daripada kejahatan, bukan sekadar menggantungnya semata-mata tanpa mengambil sebarang manfaat darinya..
Rasulullah SAW memberi amaran keras terhadap mereka yang mempercayai tangkal dan azmimat sebagai sesuatu yang berkuasa menolak keburukan dan menganggap perbuatan tersebut sebagai syirik, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aqabah Bin ‘Amir katanya, Rasulullah SAW telah bersabda[28],
(( من علق تميمة فلا أتم الله له ، ومن علق ودعة فلا ودع الله له ))
Barangsiapa yang menggantungkan azimat, maka Allah tidak menyempurnakan hajatny, dan barangsiapa yang menggantungkan al wada’ah ( kulit siput) maka Allah tidak akan menjadikannya dalam ketenteraman dan kerehatan.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imran Bin Husain, Rasulullah SAW telah melihat sejenis gelang ( al halqah ) yang dipakai oleh seorang lelaki, lalu Baginda bertanya,”Apakah ini?”. Jawab lelaki itu, “Aku memakainya sebagai pendinding daripada kelemahan. Lalu Nabi SAW bersabda ,” Sesungguhnya benda ini tidak akan menambahkan kepada engkau melainkan kelemahan, buanglah ia kerana seandainya engakau mati dalam keadaan memakainya, engkau akan diserahkan kepada benda tersebut”

5) Hukum mempercayai perkara-perkara khurafat
            Istilah khurafat dan tahyul sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu, walaupun kepercayaan ini telah wujud sejak zaman Arab Jahiliyyah. Perkataan khurafat berasal daripada bahasa Arab iaitu kharafa-yakhrifu-kharfan-khurafatan yang bermaksud sesuatu yang karut.

Manakala dari aspek teknikal, khurafat ditakrifkan sebagai berikut[29] :
1)      Kepercayaan atau i’tiqad yang tidak disandarkan kepada realiti sebenar dan tidak juga bersandarkan asas agama seperti dongeng, kisah, legenda, yang tidak benar.
2)      Setiap pengajaran yang jelas bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah  s.a.w.
3)      Semua perkara yang dicipta oleh manusia melalui pemikiran karutnya tanpa asas syariah atau akal sihat; kemudian diyakini pula sebagai boleh mendatangkan manfaat ataupun menolak bala.
Di antara bentuk-bentuk khurafat[30] yang diamalkan di kalangan masyarakt Melayu adalah seperti mempercayai kekuasaan yang terdapat pada pokok-pokok tua, busut dan kubur-kubur lama yang dianggap keramat sehingga meminta izin untuk lalu dan sebagainya, pesta mandi safar ketika masuk bulan Safar, kewujudan benda-benda pelik tanda kepada sesuatu yang tidak elok akan berlaku dan apa jua amalan yang bertentangan dengan akidah Islam dan syariat Islam.
Oleh yang demikian, hukum beramal dengan perkara-perkara khurafat ini adalah ditolak dan tidak dibenarkan sama sekali di dalam ajaran Islam. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda

من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد
Maksudnya: Barangsiapa mengada-adakan di dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak[31].
Allah SWT juga berfirman di dalam al Quran melalui surah al Jin ayat 6 yang bermaksud“Dan bahawa sesungguhnya adalah ( amat salah perbuatan ) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”
Oleh itu, jelas di sini, mempercayai amalan khurafat termasuk di antara perkara bid’ah dari aspek akidah dan seharusnya tidak boleh diamalkan kerana mengandungi unsur-unsur syirik kepada Allah iaitu mempercayai dan meyakini wujud kekuasaan lain selain dari Allah SWT dan dapat meramalkan sesuatu perkara pada masa akan datang.

Sunday, 28 September 2014

Khasiat makan pisang

PISANG murah dan mengandungi potasium yang amat berguna dalam menentang masalah kesihatan seperti strok.


PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.

Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.

Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.

Menurut Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu, kajian makmal menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu peratus.

“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa, 14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.

“Pada amnya, pisang bebas daripada lemak, kandungan garamnya rendah serta kaya dengan vitamin serta potasium.

“Ini menyebabkan semua jenis pisang dikategorikan sebagai berkhasiat.

“Apatah lagi ia senang untuk dimakan dan dihadam khususnya oleh bayi berusia enam bulan dan ke atas.


Khasiat

“Tidak ada kesan sampingan pada kesihatan walaupun pisang itu manis kerana kandungan gula dalam pisang adalah semula jadi,” katanya.

Kata beliau lagi, terdapat perbezaan antara pisang yang dimakan begitu sahaja dengan kerepek pisang atau pisang goreng.

Menurut beliau, pisang yang digoreng atau dibuat kerepek mengandungi lemak.

Jadi, adalah selamat jika pengambilan pisang goreng dikurangkan kepada seminggu sekali atau sebulan sekali.

Jika digoreng, kandungan khasiat serta vitamin dan zat-zat lain dalam pisang akan berkurangan sebaliknya kandungan lemak akan bertambah.

Ujar beliau, pisang juga dianggap penting dalam bidang perubatan. Di Thailand, misalnya, wanita hamil digalakkan oleh doktor untuk makan pisang bagi memudahkan proses bersalin. Ia juga membekalkan tenaga bagi melawan dan menyembuhkan penyakit.

Beberapa kajian antarabangsa mendapati hampir 15 jenis masalah kesihatan boleh dikurangkan dengan memakan pisang.

“Antaranya, penyakit anemia iaitu kekurangan hemoglobin dalam darah boleh diatasi dengan memakan pisang kerana ia membantu meningkatkan pembentukan hemoglobin.

“Kandungan potasium tinggi dalam pisang turut menolong merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko strok,” jelas beliau.

Tambah beliau, selain itu, kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu masalah pembuangan air besar secara normal setiap hari.

Ia turut mengurangkan tekanan kerana sejenis protein dikenali sebagai Trytophan yang ada di dalamnya membantu menenangkan fikiran serta otak orang yang berada dalam tekanan.

Katanya lagi, orang yang bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada masalah itu secara beransur-ansur.

Kajian turut membuktikan bahawa seseorang yang berdepan masalah mabuk hamil khususnya wanita yang berasa mual dan muntah pada beberapa bulan pertama kehamilan, boleh mengambil pisang untuk mengelak masalah itu.

Di samping itu, mereka yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam.

Ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan kegatalan akibat gigitan nyamuk.

“Apa yang penting, kita perlu memberi tumpuan pada kesihatan dengan mengamalkan tabiat makan pisang.

“Bagi anak-anak, kita sangat mudah untuk menyuruh mereka makan pisang kerana ia manis dan lembut. Ia boleh disediakan dalam bentuk kek, mufin dan roti pisang,” katanya.


Laris

Pisang boleh diperoleh sepanjang tahun. Di negara ini, pisang rastali, emas, tanduk, abu dan berangan adalah yang paling laris. Ia turut menjadi tumpuan peniaga pisang goreng dan kerepek.

Seorang peniaga buah-buahan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, Ramli Mat Dalip, 42, berkata, pisang sentiasa menjadi pilihan orang ramai dan ia adalah salah satu buah yang boleh didapati sepanjang tahun.

Kata beliau yang berniaga sejak 15 tahun lalu, pisang berangan dan abu sering dibeli peniaga kerepek atau kuih.

Bagaimanapun, katanya, pisang emas dan berangan memang laris dijual dan dibeli pengguna kerana rasanya manis dan boleh dimakan begitu sahaja.

“Dari segi harga, tidak banyak perbezaan kerana harga pisang mengikut jenisnya iaitu dijual sekitar RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

“Permintaan terhadap pisang pada musim perayaan khususnya Tahun Baru Cina, Hari Wesak dan Deepavali juga memberangsangkan.

“Pengguna kerap datang meminta pisang emas dan rastali kerana saiznya kecil iaitu di antara tujuh hingga 10 sm.

“Mereka akan menggunakan pisang itu dalam upacara sembahyang selain untuk dimakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga Romlah Ahmad, 31 menjelaskan, berbanding buah-buahan lain khususnya yang diimport, pisang tidak menghadapi masalah kenaikan harga.

“Pisang tidak menghadapi masalah itu. Harganya di mana sekali pun lebih kurang sama iaitu kekal sekitar RM2.80 hingga RM3.50 sekilogram.

“Lagipun pisang dikatakan paling berkhasiat dan kaya dengan zat dan vitamin. Tidak hairanlah jika orang ramai gemar memakannya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pensyarah sebuah kolej swasta di ibu negara, Daljit Kaur, 36, berkata, beliau dan keluarga gemarkan pisang kerana kebaikan yang diperoleh daripada buah tersebut.

Katanya, sejak kecil lagi beliau suka makan pisang dan pernah sekali beliau berdepan dengan seorang rakan yang mempunyai masalah kekurangan hemoglobin dalam darah dan mencadangkan supaya dia makan pisang untuk mengatasi masalah tersebut.

“Selepas itu, saya dapati kesihatannya bertambah baik bahkan setahun kemudian, boleh dikatakan dia bebas sepenuhnya daripada masalah itu.

“Selain itu, ketiga-tiga anak saya yang berusia di antara enam hingga 13 tahun juga gemar makan pisang setiap hari.

“Mereka nampaknya sihat dan tidak menghadapi kesukaran untuk membuang air besar lagi,” katanya.

Apa Yang Lelaki Suka dan Tak Suka


Lelaki suka:

* Sikap kelakar


* Budi pekerti dan kesopanan

* Murah hati

* Senyuman manja

* Pandai memasak

* Pandai dalam mengenakan pakaian

* Penampilan/imej yang sesuai dengan citarasanya

* Tak mudah naik angin

* Seorang wanita yang sanggup meminjamkan keretanya pada lelaki bila kereta laki tersebut rosak

* Tak terlalu seksi dalam berpakaian

* “Tak apalah, tadi U dah belanja I makan, jadi sekarang biar I belanja tiket wayang”

* Wanita yang dapat menjalin hubungan rapat dengan ibu atau keluarganya

* Berwawasan atau bercita-cita tinggi

* Mempunyai keyakinan diri yang tinggi

* Tahu menjaga maruah diri. Bersemangat dan tak mudah mengalah dalam situasi yang tertekan.

* Sentiasa berada di sisinya saat duka dan gembira

* Tak berleter walau terpaksa menghantar lelaki ke lapangan terbang pada 2 pagi

* Sediakan secawan teh atau kopi tanpa disuruh oleh lelaki

* Wanita yang mengambil berat tentang lelaki

* Sikap keibuan

* Sukakan kanak-kanak

* Suara lembut tanpa dibuat-buat

* Pandai membawa diri. Tak kekok dibawa ke mana pun

* Boleh dibawa berbincang dan memberi pendapat

* Memberi sokongan moral dalam apa jua usaha yang dilakukan lelaki

* Tak memperkecilkan kelemahan lelaki sebaliknya menerima seadanya diri lelaki tersebut

* Tahu bersyukur

* Pandai berjimat-cermat

* Tak mengharapkan lelaki dalam semua hal



Lelaki Tak Suka:

* Wanita yang suka mengumpat

* Sombong dan bongkak

* Menunjukkan sikap yang terlalu memiliki

* Hisap rokok

* “Kau ni macam orang tiga suku!” Mengutuklah tu…

* Wanita yang melayan lelaki seperti alas kaki

* Wanita yang suka menunjuk-nunjuk untuk dapatkan perhatian

* “Tak bolehkah U lakukan sesuatu yang betul!”

* “Jangan cuba beritahu I apa yg patut I lakukan dan yang tak patut I lakukan..”

* Wanita yang hipokrit

* Pembohong dan suka mencari alasan

* Terlalu ingin mengetahui hal peribadi si lelaki

* Sukar buat keputusan terutamanya hal berkenaan hubungan mereka

* Kurang sifat kasih sayang walaupun terhadap binatang

* Pengotor dan pemalas

* Tak bertanggungjawab langsung

* Tak pandai mengemas

* Terlalu bebas dan kuat bersosial hingga tiada batasan pergaulan

* Kuat berleter walau hal remeh temeh

* Boros berbelanja

* Tak tahu memasak

* Sikap manja yang terlalu menyakitkan hati

* “Queen Control” atau suka mengarah-arah

* Tak pandai bergaya atau selekeh

* Suka bermekap tebal sehingga hilang keayuan asli

* Suka mengungkit-ungkit hal-hal lalu

* Panas baran

* Kuat merajuk dan sukar dipujuk

* Terlalu pendiam sehingga susah untuk berkomunikasi

* Tak mahu mengakui kesilapan dan ego.

Jika anda ada kesemua ciri2 tersebut pastinya anda layak segera layak menjadi seorang isteri sejati.

Sesuatu dan Penyakit

Tiap sesuatu itu ada penyakitnya:-
Penyakit bicara adalah bohong
Penyakit ilmu adalah lupa
Penyakit ibadah adalah riak
Penyakit budi pekerti adalah memuji diri
Penyakit berani adalah takut
Penyakit pemurah adalah menyebut pemberian
Penyakit cantik adalah sombong
Penyakit bangsawan adalah membangga diri
Penyakit malu adalah lemah
Penyakit mulia adalah kedekut
Penyakit agama adalah hawa nafsu.

KISAH ORANG YANG LEMAH

Mengata diri anda lemah sebelum benar-benar terbukti anda lemah adalah kelemahan anda yang paling lemah.

Kisah Orang Berilmu

Orang yang berilmu itu menyedari bahawa:
1) Timbulnya keinsafan dari kemahuan
2) Timbulnya kemahuan dari keinginan
3) Timbulnya keinginan dari kepercayaan
4) Timbulnya kemajuan dari perubahan
5) Timbulnya kepandaian dari kerajinan
6) Timbulnya kesihatan dari kebersihan
7) Timbulnya cinta dari mata
8) Timbulnya dengki dari iri hati
9) Timbulnya kekuatan dari persatuan

Renungan Bersama

Jika kelmarin tersungkur,
Tapi hari ini….
Bangunlah dari lena kealpaan,
Tegak di atas tugu perjuangan,
Melangkah di atas landasan pertimbangan,
Mara di atas dasar kesedaran,
Berlari di atas sinar keyakinan.

Janganlah hendaknya kecintaan anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi lupa dan kebencian anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi hancur.
“Umar Al-Khatab”