Wednesday, 5 June 2013

10 Nasihat Untuk Menjadi Isteri Solehah

HATI ibu mana yang tidak gembira tatkala anak gadisnya dipinang orang. Sukanya hati bukan kepalang lalu pelbagai langkah bersiap untuk melangsungkan pernikahan dijalankan menurut tertib dan adat.
Biasanya ibu dan ayah akan bertungkus-lumus berusaha menjadikan majlis akad nikah puteri kesayangannya dengan penuh komitmen supaya meriah dan ceria.
Adalah wajar ibu bapa pengantin wanita memberikan petua dan nasihat buat anaknya yang bakal melangsungkan pernikahannya. Nasihat supaya anak memelihara dan menjaga alam rumah tangganya sebaik yang terdaya.

Inilah yang pernah dilakukan isteri ‘Auf ibnu Mihlam Asy-Syaibani yang dikatakan ada memberi nasihat kepada puterinya yang akan bernikah dengan Raja Kindah. Pesan isteri ‘Auf Ibnu Mihlam Asy-Syaibani: “Puteriku, kini engkau meninggalkan tempat kelahiran menuju rumah baru dan orang baru yang belum pernah engkau ketahui keadaan dan wataknya. Maka, jadilah engkau sebagai pengabdi yang baik bagi suamimu, supaya dia menjadi pengabdi yang baik juga bagimu. Perhatikan baik-baik sepuluh perkara daripadaku supaya ia menjadi modal bagi hidupmu.”
Begitulah kasihnya isteri ‘Auf terhadap anak gadisnya, tetapi kasihnya itu bukan mengadakan majlis besar-besaran dan serba mewah, kasih sayang dizahirkan melalui kaedah menyalurkan nasihat berguna buat anaknya melayari alam rumah tangga supaya aman sejahtera dan bahagia.
Pesanan pertama kepada anaknya: “Jadilah engkau sebagai pendamping hidupnya yang selalu menerima apa adanya. Sebenarnya nasihat isteri ‘Auf itu bertepatan kehendak agama kerana sikap qanaah, bersedia dengan hati lapang terhadap kemampuan suami, menu keharmonian rumah tangga”. Erti kata lain, isteri tidak sesekali membebankan suami yang di luar batas kemampuannya. Inilah seharusnya ada pada diri seorang isteri solehah.
Seterusnya pesanan kedua beliau: “Bergaullah engkau bersama suamimu dengan cara mendengar dan mentaatinya.” Seorang Ulama’ pernah mengatakan: “Seseorang isteri itu hendaklah memberikan layanan pada suaminya, memelihara anak, mengatur urusan rumah tangga sebaik mungkin. Hendaklah dia memberikan layanan pada suami dengan layanan yang wajar dan sesuai keadaan.”
Isteri ‘Auf berkata lagi: “Tunjukkanlah dirimu di hadapan matanya sebagai seseorang yang paling menarik baginya dan tampilkan dirimu di hadapan hidungnya sebagai seseorang yang paling harum.” Kebijaksanaan dan kesediaan isteri menonjolkan imej peribadi dalam aspek lahiriah dan dalaman mampu mewujudkan hubungan lebih intim pasangan suami isteri. Ia ibarat suatu tembok pengukuh dalam membina keluarga bahagia melalui landasan diredai Allah.
Beliau juga berpesan supaya memperhatikan penjadualan waktu makan yang betul dan tepat serta menjaga ketenteraman masa tidur. Jadi, jika diteliti apa dipesan isteri ‘Auf kepada anak gadisnya, sesuai dan relevan dijadikan sebagai pedoman kita semua.
Pesanan lain, “Sesungguhnya kelaparan seseorang akan menyebabkannya mudah beremosi dan kurang tidur pula menyebabkan seseorang itu mudah melepaskan kemarahan.”
Ini adalah langkah proaktif isteri mengelakkan suasana kurang baik dalam berkomunikasi dan berhubungan dengan suami. Memang lumrah manusia, emosi menjadi kurang stabil dan mudah dibelenggu rasa kurang tenang apabila perut lapar atau kurang tidur. Lagilah bahaya kerana emosi negatif boleh meletup tanpa disangka. Justeru, apa yang disarankan isteri ‘Auf adalah jalan pintas untuk membendung anasir negatif daripada muncul dalam rumah tangga. Mengamalkan budaya mencintai kebersihan juga ditonjolkan dalam wasiatnya supaya anaknya menjaga kebersihan tempat tinggal, keamanan harta suami dan berikan perhatian kepada suamimu serta keluarganya.

Jika kita amati pesanan itu, kita akan jumpa peringatan terbaik mengenai penjagaan persekitaran rumah tangga yang ceria dan bersih. Juga terselit ingatan supaya isteri menjadi seorang yang beramanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
Pesanan beliau selanjutnya dikira penting dipelihara rapi oleh isteri. Kata beliau:“Janganlah engkau membuka rahsia suamimu kepada orang lain dan jangan engkau melanggar perintahnya”. Islam menegah isteri menceritakan hubungannya dengan suami atau hal rumah tangga kepada orang lain.
Yang terakhir katanya: “Janganlah engkau berasa susah ketika dia dalam keadaan senang dan janganlah engkau berasa senang ketika dia dalam keadaan susah, kerana yang pertama termasuk moral yang tidak sesuai dan yang kedua termasuk merosakkan suasana. Jadilah engkau orang paling mengagungkan suamimu, agar dia menjadi orang yang paling memuliakanmu.” Begitulah pesanan bermanfaat dan cukup indah dikemukakan isteri ‘Auf Ibnu Syaibah kepada anak gadisnya. Ibu bapa sewajarnya menitipkan pesanan untuk dijadikan panduan kepada anak yang akan melangsungkan pernikahan demi kesejahteraan rumah tangga mereka.

INFO: 10 pesanan jadi isteri solehah
  1. Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
  2. Mendengar dan mentaati suami.
  3. Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga.
  4. Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
  5. Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
  6. Menjaga makan minum suami yang betul, tepat serta waktu tidur bagi elak emosi suami terganggu.
  7. Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
  8. Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
  9. Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain.
  10. Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.

Siapakah Qarin?


Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai “kembar” manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana
yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas’ud r.a. maksudnya: “Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa
jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah.” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Aisyah r.ha. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata:
“Aku merasa cemburu.” tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan “kembar”nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia..

Wednesday, 29 May 2013

OSTEOARTHRITIS

Osteoarthritis lebih mudah dikenali sebagai sakit sendi. Ia merupakan sejenis penyakit sendi yang mempunyai ciri keradangan. Sendi pula ialah bahagian badan di mana dua tulang berlainan bertemu.
Ia berlaku apabila tulang rawan yang membentuk permukaan sendi menjadi haus. Ini akan menyebabkan sendi menjadi bengkak, sakit dan kebas dan menjadi punca kepada kemerosotan sendi tulang yang progresif (penyakit degeneratif sendi).
Keradangan berlaku kerana darah (tidak cukup khasiat) yang dibekalkan kurang meskipun seseorang itu sihat. Ini kerana, tubuh badan tidak boleh menghasilkan zat makanan yang mencukupi bagi menyelaras dan memastikan kadar pemulihan dan pembaharuan yang diperlukan.
Sendi yang selalunya berlaku keradangan adalah lutut. Hal ini demikian kerana, lutut adalah sendi yang menampung berat badan kita dan sentiasa digunakan sepanjang hidup kita.
Berikut adalah tanda-tanda penyakit Osteoarthritis:
  1. Sakit pada sendi yang terlibat.
  2. Kesukaran untuk membengkokkan atau meluruskan sendi akan berlaku.
  3. Sesetengahnya akan mengalami kebengkakan.
  4. Adanya pembesaran tulang sendi.
Golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit Osteoartritis:
  1. Golongan tua dan sudah berumur
  2. Golongan obesiti
  3. Sukan yang menyebabkan impak yang berulang dan memerlukan pergerakan pantas seperti bola sepak
  4. Mengangkat barang-barang yang berat.
  5. Lemah otot paha (quadriceps)
  6. Abnormal tibial rotation
Rawatan perubatan:
Rawatan yang biasa diberikan untuk mengurangkan kesakitan termasuklah non- streoidanti- inflammatory drug (NSAID). Pesakit juga boleh diberikan rawatan glucosamine sulphate bagi mengurangkan kesakitan dan dipercayai boleh memperbaiki sendi-sendi yang terlibat. Malah, bagi pesakit yang tidak dapat menahan kesakitan , mereka boleh diberikan corticosterioid yang bertujuan mengurang proses keradangan dalam sendi.
Selain ubat penahan sakit yang dimakan, ada juga ubat sapu yang diperbuat daripada gel atau krim yang boleh digunakan untuk kelegaan tambahan. Ubat-ubatan ini selalunya tidak lagi berkesan untuk peringkat osteoartritis yang teruk. Ubat-ubat baru seperti glucosamine, chondroitin dan diacerin adalah termasuk dalam kategori ubat-ubat tambahan dan sokongan yang boleh di ambil bersama dengan analgesia.
Ketiga-tiganya bertindak dan mempunyai fungsi yang berlainan.
Glucosamine bertindak dengan mengembalikan cecair sendi dan membantu melicinkan pergerakan sendi. Secara tidak langsung, ia juga mengurangkan sakit sendi kerana geseran.
Chondroitin boleh menahan kerosakan lanjut rawan jika diambil pada peringkat awal osteoartritis
Diacerin pula bertujuan untuk mengurangkan radang di sekitar sendi di samping boleh menolong mengurangkan sakit akibat osteoarthritis.
Ubat jenis suntikan intra-artikular seperti asid hylarunik juga boleh digunakan untuk menambah cecair pada sendi yang bermasalah. Suntikan ke dalam sendi ini boleh memberikan kesan yang cepat dengan mengurangkan sakit dan mengurangkan bunyi geseran (crepitus) akibat dari osteoarthritis.
Pesakit perlu mendapat sekurang-kurangnya tiga suntikan setiap minggu untuk satu rawatan penuh bagi satu-satu sendi. Walaubagaimanapun, kini terdapat produk asid hylarunik yang hanya perlu disuntik sekali sahaja bagi memberikan kesan hampir sama.
Rawatan fisioterapi yang boleh diberikan:
 1. Untuk mengawal kesakitan
  • Terapi senaman (Bennell et al, 2005)
  • TENS (Low&Reed, 2003)
2. Untuk mengurangkan kebengkakan jika ada.untuk mengurangkan kebengkakan jika ada.
  • Gunakan ais selama 15 minit
3. Untuk mengekalkan pergerakan sendi ( increase joint range of motion )
  • Lakukan senaman aktif dan pasif ( bengkok dan luruskan kaki )
4. Untuk meningkatkan kefleksibelan
  • senaman regangan ( stretching exercise )
contoh: stretching for hamstring
5. Untuk mengekalkan kekuatan
  • Isometric exercise : static quadriceps, static glutues, inner range quads, straight leg raise.
(penerangan lanjut mengenai exercise ini, link ke http://rinialik.blogspot.com/2010/05/oa-apa-tu.html)
  • Isotonic exercise : knee bend, knee bend with sandbag.
(tahan 5  saat, rehat dan ulang 5 kali. kemudian, progres.)
  •  Aerobic exercise : brisk walking, swimming, etc
(20 minit/hari, 3kali/minggu)
Proprioceptive Exercise : 1/4 squats, heel raises        

Tuesday, 28 May 2013

Kesan stres terhadap daya kerja


PELBAGAI kejadian dan tragedi yang melibatkan tekanan atau stres dan kemurungan teruk sebenarnya boleh dielak dan diatasi, jika orang ramai mengambil berat mengenainya. Malah, ia boleh menjadi penyakit yang serius andai tidak diurus dan dikawal dengan baik.

Walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.

Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari bahawa stres juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda.

"Ia boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain di pejabat dan rumah," ujar Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh ketika menyampaikan ceramah dalam Bengkel Stres Kehidupan anjuran Hospital Gleneagles.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan punca mengapa wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki.

Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan.

Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi 'lelaki sejati', iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya.

Banyak kes yang dirawat di hospital melibatkan pesakit yang tidak membiasakan diri menyelesaikan masalah dari peringkat awal lagi.

Kadang-kadang masalah di tempat kerja juga memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporak-perandakan perkahwinan itu sendiri.

Bagi penghidap stres, mereka bimbang, masyarakat akan memandang serong terhadap mereka dan tidak mahu dilabel kurang siuman.

Ujar Dr. Nor Hamidah, sebab itu masyarakat juga perlu prihatin dan sedar betapa stres dan kemurungan yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.

Ramai wanita stres?

Menurut Dr. Nor Hamidah, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Arizona terhadap 166 pasangan berkahwin mendapati, wanita melalui episod stres yang tinggi berbanding lelaki.

Bercerita mengenai punca masalah yang semakin meningkat itu katanya, desakan hidup dan persekitaran sebenarnya menjadi penyebab utama.

Kebanyakan wanita pada peringkat umur 35 hingga 45 tahun mengalami emosi yang stabil kerana ramai yang mula bijak menguruskan kewangan sementara anak-anak pula sudah membesar. Berbeza dengan wanita yang baru mendirikan rumah tangga atau mempunyai anak, mereka belum bijak menguruskan hal rumah dan kerja. Bagi wanita yang berumur 45 tahun ke atas, mereka pula berhadapan dengan perubahan hormon akibat menopaus.

Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.

Bijak

Namun seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti.

Jelas Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

"Mengambil berat tentang kesihatan mental membantu kita untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara ini saling berkait," katanya.

Dr. Nor Hamidah turut menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya ambil masa untuk rehat dan berani untuk berbincang mengenainya bersama saudara atau teman terdekat.

"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti akan sedar mengenainya. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi," katanya.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan. Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.

Pengurusan stres di pejabat

Justeru itu, setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak menganggu produktiviti pekerja.

"Kita lihat banyak kejayaan menerusi perlaksanaan pengurusan kerja di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada tahun 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada tahun 1995, Perkhidmatan Salah Tingkahlaku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja telah menurunkan 35 peratus masalahstres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang pengurusan ini, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor.

Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.

Ini penting untuk mengurangkan berlakunya darah tinggi - lelah - masalah kulit yang semakin teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema - serangan jantung - sinus/resdung - hilangan fungsi seksual dan pembiakan - strok - masalah berat badan - gangguan tidur - cirit-birit atau sembelit - migrain - gangguan kebimbangan - ulser perut - sakit kepala - kemurungan.