NEGARA TELAH melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Dan pada tahun 2020
Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai
negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal
dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati
diri bangsa.
Kita, misalnya, sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi
sebenar, ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal.
Pada tahun 2020, iaitu sekitar 15 tahun dari kini tentunya serba-serbi berjalan
pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramal, akan dipenuhi pembaharuan
demi pembaharuan. Teknologi informasi dan komunikasi pada masa itu akan
secanggih mungkin. Cara hidup kita di Malaysia dan juga di merata dunia akan
turut berubah.
Kita sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global
dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi.
Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak
penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarab
di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu,
akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru.
Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau yang membina bangsa
yang dikehendaki kerana proses yang ada pada masa itu ialah yang sesuai
dipanggil osmosis di mana proses nilai kuat lagi berpengaruh menyedut nilai
lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu yang bakal disedut melalui proses
osmosis itu nanti ialah menerusi pencabulan bahasa, kebudayaan dan cara hidup
yang mencorakkan sifat kemelayuan mereka. Pandangan yang cenderung ke arah
fenomena ini mungkin akan dipertikai tetapi pada amatan kebanyakan pemerhati
ianya pasti berlaku.
Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah
banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan
komputer dan internet. Orang kini mengirim berita pantas melalui e-mail dan sms
– dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan
sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet. Perkataan terbaru
sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau
dihalusi terlebih dahulu. Istilah Infotenmen, misalnya, yang menimbulkan
kontroversi dalam penggunaan istilah bahasa Melayu juga merupakan satu istilah
baru yang dipertikaikan walaupun Menteri Penerangan telah menghujahkan
alasan-alasan penggunaannya di Parlimen. Hiburan, berita dan maklumat,
kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan nisbah
yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih
pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama. Bahasa
Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Inggeris, di kalangan sektor swasta
pertuturan adalah lebih kurang 70% dalam bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam
bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang
seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Dan secara ketara, pendidikan negara
mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu
bahasa Inggeris.
Nisbah perkataan baru yang di ceduk dari bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian
bahasa rojak kita. Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersediakah
kita mempertahankan diri agar jati diri dan kesinambungan bina bangsa terjamin?
Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab secara tepat dan kalau dijawab
pun ianya belum pasti akur kepada apa yang mungkin terjadi.
Jika diamati generasi muda Melayu di pusat-pusat Bandar, akan tersua amalan
asas mereka. Mereka leka dengan perkelilingan baru — keluarga, hiburan, sukan,
tempat kerja dan tumpuan-tumpuan hidup yang lain lantas dipengaruhi unsur-unsur
global yang telah dipopularkan melalui media, dagangan antarabangsa dan hiburan
muzik serta wayang gambar hollywood dan bollywood. Mereka kian lama kian jauh
dari apa yang dahulunya boleh dikesan sebagai belia Melayu. Sementara itu
golongan Korporat Melayu cuba berlumba-lumba mendapatkan hak mereka dari “kuih”
ekonomi yang ada, sekali pun tahap yang dicapai setakat ini masih di paras 18%.
Jelaslah 12% lagi masih di awangan dan belum menepati janji serta aspirasi kita
yang digurindamkan pada tahun 1971 dahulu.
Dalam perkelilingan beginilah masyarakat Malaysia hidup di negara ini. Dan
dalam perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib bahasa Melayu
(BM). Cuma kali ini ditambah sedikit dengan kaitannya dengan senario global.
Sebenarnya memperkatakan tentang bahasa Melayu hakikatnya ialah kita
memperkatakan satu-satunya aspek asas orang Melayu itu sendiri. Survival bahasa
Melayu di peringkat yang maju dan beridentiti lantas juga mencerminkan bangsa
Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Cuma bangsa Malaysia adalah igauan
politik yang hendak dicapai tetapi Bangsa Melayu sudah ada dan nyata.
Kebelakangan ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang Bahasa Melayu.
Tetapi boleh dikatakan kesemuanya membuat rungutan atau dengusan yang negatif
tentang keadaan terumbang-ambing beberapa aspek bahasa Melayu itu. Dari tahun
1999 hingga 2003 terdapat secara rambang sekitar 94 rencana utama termasuk
kertas-kertas simposium dan konvensyen yang memperkatakan tentang bahasa Melayu
dari pelbagai sudut dan aspek. Tajuk-tajuk yang digemari ialah masalah bahasa
rojak; keupayaan bahasa Melayu dalam dunia moden, bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar dan bahasa ilmu, kemampuan bahasa Melayu sebagai lingua franca di
kepulauan Melayu, bahasa Melayu dalam konteks pembudayaan bahasa persuratan,
kelunturan bahasa Melayu dan pelbagai lagi tajuk pokok yang kesemuanya
menyentuh tentang pusaka perhubungan Melayu ini. Malangnya tiada satu pun di
antara rencana-rencana itu yang memuji atau memberi markah tinggi kepada usaha
memperkasakan bahasa Melayu. Sebenarnya usaha memperkasakan Bahasa Melayu
semacam sudah dilupai, seolah-olah seperti bidalan terpijak pergi terlanda
pulang. Boleh juga dikatakan bahawa piel atau sikap yang ada ialah sikap
tangkap muat atau taking things for granted dalam kiasan bahasa Inggerisnya.
Bahasa Melayu dalam era global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar dan
penuh permasalahan. Ia berkait rapat dengan soal jati diri orang Melayu dan
bangsa Malaysia amnya. Ia juga suatu masalah pembudayaan yang amat berat dan
rumit. Tajuk ini walaupun pernah dibincangkan dalam beberapa polemik yang
terdahulu lebih banyak menimbulkan masalah daripada jawapan. Ini adalah kerana
bahasa Melayu itu sendiri sedang menghadapi cabaran dan rintangan yang hebat di
dalam negara sendiri. Bercakap pasal bahasa Melayu di era global semestinya
memerlukan kita membincangkan terlebih dahulu beberapa isu bahasa secara
domestik. Jika tidak, perbincangan kita semacam belum tegak sudah berlari.
Bahasa sebagai alat komunikasi antara manusia mempunyai berbagai-bagai fungsi.
Ia berfungsi mengungkapkan konsep, gambaran dan menjelmakan perbuatan. Ia
berfungsi menyampaikan kehendak mental. Ia berfungsi mengungkapkan perasaan,
rasa hati dan gerak hati. Pendeknya sesuatu yang bermain-main dalam fikiran
kita dapat kita ungkapkan melalui bahasa.
Dengan bunyi glottal atau vokal manusia melahirkan bunyi itu. Pengalaman begini
memakan masa dan merentas zaman. Perkataan baru sebelum diterima pakai sebagai
sebahagian bahasa sesuatu masyarakat itu mengalami ujian ‘penerimaan’ atau
‘penolakan’. Proses menerima atau menolak ini bergantung kepada sekuat mana
jati diri bangsa penuturnya. Jika lemah maka lebih banyaklah kata-kata yang
diimport sekalipun di dalam himpunan kata-kata bangsa sudah sedia ada kata-kata
sendiri.
Sesuatu yang bermain-main dalam fikiran secara umumnya disebut bayangan dan
secara khususnya disebut sebagai citra dalam Bahasa Sanskrit dan atau imej
dalam alih Bahasa Inggeris. Citra atau imej muncul dalam bentuk simbol atau
perkembangan. Misalnya apabila kita berfikir tentang kuda, kita menuturkan
sebagai kuda atau menulisnya dalam istilah-kata "Kuda". Ertinya
setelah membayangkan konsep "kuda" dalam fikiran, kita jelmakan ianya
dalam bentuk lisan atau tulisan sebagai kuda.
Bahasa (kata istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan
tahap-tahap ilmu yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud
empat tahap keilmuan. Ilmu yang terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya - ilmu
sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya), diikuti tahap yang paling tinggi
iaitu ilmu rasional ( ilmu falsafah dan ilmu pemikiran kreatif), ilmu laduni
(intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada Allah dan ilmu tertinggi ialah
ilmu makrifat yakni ilmu tentang Ilahi yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam
hierarki ilmu.Setiap tahap ilmu mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang
tersendiri. Misalnya bahasa yang di ungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah
bahasa saintifik. Bahasa saintifik membawa pengertian bahasa yang logik yakni
yang berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan erti tepat. Dalam
konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat penghasilan
tidak didalami sebelum kita mengaku kalah lalu bahasa Melayu tidak mampu
menjadi wahana sains dan matematik.
Isu-isu bahasa :
Pada amnya terdapat 7 isu pokok yang berkaitan bahasa Melayu dalam konteks bina
bangsa (nation building):i. Masalah penjiwaan bahasa Melayuii. Masalah bahasa
rojakiii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa Melayuiv. Utiliti atau sifat
perlu-guna bahasa Melayuv. Unsur-unsur dan amalan yang merosakkan bahasa
Melayuvi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963vii. Perubahan dasar bahasa ilmui.
Penjiwaan bahasa: Bagi tempoh tahun-tahun 1960’an Isu bahasa Melayu sebagai
bahasa Kebangsaan menjadi perkara hangat dan isu yang membakar semangat
perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Bahasa Jiwa bangsa sesungguhnya
sebahagian dari jiwa nasionalisme orang Melayu. Begitu penting dan utama bahasa
Melayu sehingga UMNO sendiri menerapkannya ke dalam fasal 3 perlembagaannya
tentang bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sementelahan pula istilah
Melayu itu sendiri mengikut Perkara 160 Perlembagaan negara mewajibkan
seseorang itu berbahasa Melayu selain beragama Islam dan mengamalkan adat
istiadat Melayu sebelum layak diiktiraf sebagai seorang Melayu. Kempen Bahasa
Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pimpinan Tuan Syed Nasir
Ismail masih diingati sebagai yang terhebat dan berkesan.
Secara rambang keutuhan bahasa Melayu tidak banyak dipertikaikan sehingga 1986.
Bahasa Melayu itu sendiri mengalami edaran zaman dan evolusi. Sistem ejaan,
kerjasama penyeragaman Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia, penulisan novel, cerpen
dan penyemarakan bahasa menjadi amalan biasa sehingga apabila menjelang tahun
1985 penulisan novel, cerpen, sajak terus beroleh tempat di kalangan pembaca.
Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai semenjak 1959 hingga awal 1980’an terus
menjadi kilang guru bahasa Melayu yang berkesan dan disegani. Kini ianya cuma
jadi sejarah. Penekanan kepada bahasa Melayu dari sudut perguruan khusus sudah
kurang mendapat perhatian.
Bila pengkhususan pengajaran bahasa berkeadaan sedemikian, maka hasil
penjiwaannya juga turut berkurangan. Sastera Melayu, penulisan kreatif Melayu,
bahasa Indah Melayu dan pada amnya pembudayaan bahasa Melayu turut merana. Bila
jiwa sudah lemah dalam sesuatu amalan, maka aspek praktisnya juga turut lemah.
Lemahnya penjiwaan adalah terasas kepada tuntutan perkelilingan. Lemah
penjiwaan ini hanya dapat diatasi dan diperkukuh semula jika hala tuju jiwa
bangsa tadi bersedia memungut yang cicir, mencari yang hilang. Jika polemik
hanya tertumpu kepada hujah yang secara asasnya tidak yakin kepada bahasa
ibunda sendiri sebagai bahasa ilmu tentulah ubat yang dicari tidak akan
menyembuhkan penyakit. Penyakit lama akan hinggap kembali. Kini orang Melayu
tak pandai sangat berkata halus lagi. Antara “Hi” dan “Hello” dan “showtime”
pepatah-petitih sudah dilupai. “Apa khabar” juga sudah dipulas oleh
Assalamualaikum. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Buku Kiliran
Budi dan Ilmu Mengarang Melayu karya Pendeta Za’ba sudah disaluti habuk kerana
tidak dirujuk lagi. Kita menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun
langkah. Di sinilah barangkali tepat dikatakan: “koyak baju kerana lenggang;
pesuk songkok kerana lonjak”. Kerosakan ini semua adalah akibat badan yang
buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita:
Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.
ii. Masalah bahasa rojakKini kita sudah diserang penyakit campur-aduk seperti
yang disebutkan di atas. Penyakit campur-aduk inilah yang menyebabkan
berkembangnya bahasa rojak. Bahasa rojak wujud dalam sesuatu ayat yang
diselang-selikan dengan bahasa asing sehingga campurannya itu semacam hidangan
rojak. Hanya yang berbeza ialah rojak lebih sedap dimakan tetapi bahasa rojak
menyebabkan kita sakit telinga mendengarnya dan paling parah, bangsa Melayu
malu dipalunya.
Awal-awal lagi boleh diperakukan, mencedok perkataan asing untuk dimuatkan ke
dalam sesuatu ayat bahasa Melayu memang tidak dihalang, malah memang benar
seperti kata-kata Pendeta Za’ba dalam buku klasiknya Ilmu Mengarang Melayu
bahawa dalam bahasa Melayu sedia terdapat sekian banyak perkataan yang asalnya
adalah dari pelbagai punca: Sanskrit, Inggeris, Portugis, Belanda, Parsi, Arab,
Cina dan sebagainya. Tidak perlu bagi saya menyatakan perkataan-perkataan itu
kerana umum sudah pun mengetahuinya.
Paling mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang
ungkapan-ungkapan seperti “e-mail”, “sms” “internet”, “software”, “hardware”,
“ISDN”, “html”, “computer” “website” dan sebagainya. Sekarang pun kita secara
harian mendengar dialog seperti berikut:
“Hei, hari ini birthday I lah”
“Dalam hal ini you yang paling best”
“How are you today...harap OK lah”
“You dah breakfast kah”
“Hei, kawan-kawan, it’s showtime”
“Inilah showtime yang ori…”
Ungkapan-ungkapan dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di
kaki lima dan di kedai kopi dialog generasi muda begitu juga. Warga emas juga
diheret sama. Jelas tiada pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga
berterusan wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita sehari-hari. Di samping pengawasan
di media barangkali boleh dilakukan, tetapi ianya sukar dikuatkuasakan terhadap
individu yang sudah memilih tatabahasa yang baru untuk bercakap antara seorang
dengan seorang yang lain. Jika diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti oleh
ratusan contoh lain yang rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah
rosak keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak
tertarik dengan amalan campur-aduk ini ke tahap yang dialami bahasa Melayu.
Yang merunsingkan ialah kepekaan dan rasa prihatin masih belum tertera di
pemikiran yang bertanggung jawab di bidang penggunaan bahasa.
Ada beberapa petua sebelum masyarakat harus membenarkan bahasanya dirasuk
bahasa rojak yang tidak indah dan tidak mencerminkan jati diri. Pihak yang
mengatakan bahawa apa salahnya diambil perkataan asing, sedangkan
perkataan-perkataan asing sudah pun dipinjam semenjak beratus-ratus tahun
dahulu lagi. Ini memang boleh diterima tetapi peminjaman itu berasas kepada
beberapa syarat dan ketertiban demi menjaga keutuhan bahasa Melayu:i. Istilah
atau perkataan baru itu bolehlah diambil jika tiada perkataan yang sama
maksudnya dalam bahasa Melayu; Jika dalam bahasa sendiri ada perkataan yang
sesuai, kenapa kita perlu tiru hak orang? Dalam pengertian ini, misalnya kita tak
perlu ambil birthday sedangkan hari jadi atau hari kelahiran ada dalam bahasa
Melayu.
Showtime boleh diganti dengan masa persembahan atau saat persembahan; ori
dengan asli;ii. Peniruan atau pengambilan kata perbendaharaan orang lain harus
menambah ilmu dan jati diri kepada masyarakat.iii. Pihak pengembang dan pemaju
bahasa ibunda harus bertindak dan membetulkan sesuatu ungkapan atau perkataan
yang dirasakan menceroboh bahasa sendiri. Malangnya kuasa membetulkan ini tiada
pada sesiapa atau mana-mana pihak pada masa ini.
Manakala siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat,
seperti yang laksanakan Astro pada masa ini, kita dapat bayangkan betapa besar
dan dahsyatnya kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang lain kehidupan
kita.
Secara amnya kita terdedah dan terlalu terbuka kepada anasir-anasir luar.
Mekanisme penahanan atau mengehadkan penerapan luaran ini tidak cukup ada pada
kita sekalipun agama itu tampaknya patut lebih berkesan sebagai
penangkis.Apabila bahasa berubah dan diubah soalan yang muncul ialah: siapa
yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ianya diubah
sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup
untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan
asing. Sebaliknya mereka mungkin beranggapan bahawa imej yang mereka perolehi
dengan menyelitkan perkataan Inggeris di celah-celah ayat Bahasa Melayu akan
meninggikan imej mereka walaupun ini tentunya berupa pendekatan bersifat
makjujad (hypocrite); atau dengan bahasa Melayu rojak mereka berasa boleh
mencapai kepuasan berkomunikasi; atau, dan ini penting, mungkin asuhan bahasa
Melayu mereka di sekolah tidak sampai ke tahap mantap. Juga terdapat di
beberapa kalangan, termasuk pemimpin yang tidak berpendidikan aliran Inggeris,
lantaran mereka rata-rata dianggap tidak mempunyai kelulusan akademik yang
tinggi, mereka cuba menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam perbualan
dengan tujuan supaya orang menganggapnya boleh speaking atau ‘tinggi’ tahap
pendidikannya.
Walaupun gejala ini barangkali kecil bilangannya, boleh diperakukan bahawa
ianya wujud nyata di kalangan masyarakat kita.Sebenarnya ungkapan sekerat
belut-sekerat ular tadi:
“Hei, hari ini birthday I lah” boleh dituturkan sebagai “Hei, hari ini hari
jadi saya (aku)lah”. Semua ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan secara
Melayu 100%. Tetapi kenapa tidak dilakukan sebegitu? Ini semua adalah petanda
yang bakal membawa kepada kelunturan. Ini bukan sekadar ramalan seorang idealis
atau yang semata-mata bersifat tulen tak menentu, tetapi pandangan ini bertapak
pada alam nyata:
Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betina
Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka.
Jika demikian cara dan kaedah yang paling berkemungkinan untuk menangani bahasa
rojak yang memuramkan imej bahasa kita ialah dengan menjayakan program-program
latihan lisan yang membina amalan komunikasi. Ia harus dijalankan di semua
institusi persekolahan dan pengajian tinggi.
Personaliti media utama, pemimpin, institusi kawalan kerajaan harus
mengutamakan percakapan bahasa Melayu yang betul. Gejala bahasa rojak tidak
akan hapus kerana pembudayaan bahasa ibunda belum wujud sepenuhnya di negara
ini. Jati diri tidak dikaitkan dengan pentingnya bahasa ibunda dipersadakan.iii.
Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa MelayuDari segi bahasa, bahasa Inggeris
sudah nyata akan merobah cara berfikir dan juga cara bertindak di samping cara
menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal ditimba.
Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir dalam bahasa Inggeris
kemudian bercakap dalam bahasa Melayu. Malah bermimpi dalam bahasa Inggeris
juga kebiasaan. Juga akan ada anak-anak masyarakat Cina dan India Malaysia yang
bercakap dalam bahasa Melayu dan berfikir dalam bahasa Cina dan India. Sekarang
pun kecenderungan ini sudah berlaku. Juga tidak dapat dinafikan bahasa Mandarin
dan Tamil akan beroleh tempat yang lebih signifikan melalui langkah-langkah
pembudayaan bahasa mereka.
Oleh kerana bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu
akan disadur banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur bahasa
Melayu mesti bersedia untuk perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat
sebagai pengamal keaslian (purist) mungkin akan berduka kerana bahasa lama akan
secara perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula akan muncul.Bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan
Malaysia. Ia juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status ini tidak perlu
dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat
dasar mengglobalkan bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu.
Bila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dari segi
keutamaan global bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan posisi bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu dari sudut ini tidak akan meningkat tanpa
peningkatan industri buku yang seharusnya diperjuangkan.Bahasa Melayu, seperti
yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang
dicetuskan oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh
komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru
itu nanti bakal merubah pemakaian tatabahasa Melayu.
Seharusnya, bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu
dikekalkan tetapi berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna
kita tidak minta dibuli atau dipijak. Ini termasuklah asuhan Islam positif yang
perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam hal ini nilai-nilai yang
dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih diminati. Amalan Islam
yang mengambil kira tamadun yang berevolusi, konsep dan amalan budi-bahasa,
amalan tradisi Melayu seperti sopan-santun, kekeluargaan, hormat-menghormati
dan sebagainya akan lebih membimbing. Pendeknya mesti diteruskan apa yang
selama ini dikenali sebagai “asuhan budi”. Barangkali falsafah “Rukunegara”
yang membentuk masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh disemarakkan semula.
Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh dihentikan atau dicanai
oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti diadakan.
Mewujudkan Kementerian Kebudayaan kesenian dan Warisan hanya sebahagian
daripada usaha ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak diwujudkan, soal
adab dan tamadun tidak harus dikelasduakan. Bahasalah menjadi penjalin dan
penjana bangsa.iv. Utiliti atau sifat perlu guna bahasa Melayu adalah lumrah
manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa menepati tuntutan kegunaan atau
utilitinya, perkara atau barang itu akan kurang disimpan, kurang dipakai dan kurang
keperluannya.
Dalam satu aspek bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa
ilmu terus menerus disalur oleh bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang satu lagi
ialah bahawa bahasa Melayu masih diperlukan sebagai syarat lulus dan cukup syarat
dalam peperiksaan dengan kelulusan dalam bahasa Melayu. Lagipun sebagai lingua
franca negara ini BM akan tetap digunakan sebagai wahana komunikasi. Sebagai
bahasa ilmu BM dikhuatiri tidak akan terlalu membangun kecuali dasar pembukuan
negara diubah dengan erti kata semua teks ilmu moden dan usang diterjemahkan ke
dalam bahasa Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia,
kaji cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan
baca lantaran buku-buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa Inggeris,
bahasa yang dipelajari di sekolah untuk menimba ilmu. Di sini sudah jelaslah
kedudukan BM sebagai bahasa ilmu.
Sebaliknya pula jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai
bahasa Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa.
Keadaan serba-salah ini sebenarnya tidak harus digusarkan. Ini adalah kerana
jika zaman moden dunia hendak disertai oleh warga Malaysia melalui kebangkitan
global, bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi. Ini bererti sekian banyak
istilah bahasa Inggeris akan menerpa masuk kepada perbendaharaan kata BM.
Bahasa rojak akan berterusan dituturkan dan dilaungkan.
Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati akan diperolehi kerana nahu
semasa akan terus digunakan. Sebagai perbandingan, bahasa Arab juga menghadapi
permasalahan yang sama. Mereka belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa
ibunda mereka. Justeru saban tahun sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai
jurusan sains mengaji di universiti dan institusi pengajian tinggi Barat yang
bahasa pengantarnya ialah Inggeris.
v. Unsur-unsur yang merosakkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah
bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat.
Sementara keadaan bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang
memuaskan berbanding BM tulisan, beberapa sebab dapat diperhatikan:
a. kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah,
mahasiswa dan petugas awam.
b. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam
pembahasaan dan pertuturan.
c. Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah.
d. Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera
bangsa sendiri.
e. Pembelajaran dalam bidang the Arts yang tidak disaring dan dikemas.
f. Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau
pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran.
Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan
rasmi juga dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan
penggunaan BM yang baik. Jika bahasa mesyuarat juga bercampur-aduk dengan
selingan bahasa rojak, bagaimana penggunaan bahasa baik dapat dicapai?
Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati segan hidup tak mahu
lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin terhadap tulisan Jawi.
Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu
berfungsi sebagai pencetus nasionalisme Melayu kini sudah jadi edisi sekali
seminggu. Itu pun dengan jualan yang kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Ini
memalukan. Jika dicari di mana hilangnya, jika dipintas di mana hanyutnya,
puncanya ialah pembelajaran bangsa.
vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963Cinta rakyat kepada Bahasa Kebangsaan
meluap-luap sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa Kebangsaan akhirnya
diam dan mula segan dan hormat terhadap bahasa ibunda orang Melayu itu. Pada
tahun 1963 Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan
peruntukan Perkara 152 perlembagaan Persekutuan. Ia tidak memperuntukkan
sebarang provisi penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak
mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya. Malah jika terdapat penggunaan bahasa
pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, tidak dapat berbuat
apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan.
Apabila Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu
lantas dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta bahasa
Kebangsaan 1963 adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya bahasa
Melayu. Pada satu hakikat ini mungkin benar tetapi pada pengertian khususnya
Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni menyatakan apa yang sudah jelas dan
nyata daripada hal bahasa Melayu itu. Sebaik-baiknya beberapa pindaan harus
dilakukan dalam usaha memberi sedikit kuasa penguatkuasaan kepada satu-satunya
agensi bahasa di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penguatkuasaan yang dihajati benar ialah apabila disuai penggunaan yang telah
disalahgunakan, DBP tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis,
misalnya, Biro Bahasa Perancis di bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa
membetulkan sesuatu penyelewengan bahasa Perancis. Fenomena “pencapaian dan
kecapaian” pada tahun 1996 seharusnya boleh diatasi dengan segera oleh DBP
tetapi lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan bahasa yang
disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan salah.
Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian.
vii. Perubahan dasar:
Benarkah ia melemahkan Bahasa Melayu?Pada suatu hakikat memang boleh diterima
bahawa dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran
matematik dan sains merobah satu lagi pancang seri yang selama ini menjadi
kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut di Sekolah
Kebangsaan.
Tetapi realiti perkara ini memerlukan penilaian objektif dan bukan subjektif.
Sebelum anjakan dasar ini dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu
dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan
sains dan matematik di kalangan bukan Melayu berada di tahap baik. Ini adalah
kerana pengajaran bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan berkesan sedangkan
di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian sains dan
matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya, terus meningkat.
Ini disebabkan kualiti pengajaran menyumbang kepada pencapaian anak-anak di
SRJK.
Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini enggan menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengajaran sains dan matematik. Tetapi pencapaian mereka di
bidang-bidang berkenaan terus meningkat sekalipun pencapaian bahasa Inggeris
mereka cuma di peringkat sederhana.Apa akan berlaku jika amalan lama tidak
dianjak? Pertama anak-anak Melayu akan terus berada di tahap lama, mereka akan
terus lemah pencapaian B Inggeris, sains dan matematik.
Sekurang-kurangnya bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik
lantas secara teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain
dengan lebih mudah. Tetapi ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu
kepada murid-murid. Ini bergantung kepada kualiti para guru itu sendiri. Jika
kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian di kedua-dua subjek itu juga
akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik ialah mewujudkan
kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi.
Peranan Maktab Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan.Juga akan berlaku
ialah bahasa Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu tersebut.
Dari satu sudut ini kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi dari segi sebenar
jika diimbangi ia boleh menjadi rangsangan baru. Tetapi bahasa Melayu tidak
boleh dianggap bahawa lantaran bahasa Inggeris dipilih untuk menyegarkan pengajian
matematik dan sains maka BM akan terus lemah dan menghilang. Ini merupakan
sikap mengalah dan pesimis.
Rumusan TindakanTampak sebagai penting iaitu penggunaan bahasa Melayu perlu
dijana semula dan dikempenkan semula. Para pengucapnya mesti dalam keadaan
sedar (conscious) selalu supaya megah dan berasa senang berbahasa Melayu dengan
baik. Sekolah, universiti, agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan
lain harus bersekutu dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional
yang amat penting ini.Banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan: meningkat
dan memperhebatkan dasar buku nasional; menerbitkan buku-buku bermutu dunia dan
serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar cintakan
bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh diteruskan.
Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan terus-menerus.
Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu kita tidak harus terus berasa
hilang tenaga dalam menghadapi cabaran global. Untuk menghalang bahasa Melayu
daripada diselangi perkataan dan nilai luar secara melulu tidak akan membawa
kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada
dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi yang berterusan.
Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi BM zaman depan mesti
bersandar kepada situasi menang. Untuk itu pembudayaan bahasa harus nyata.Di
plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n
Go”. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan
pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa.
Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan &
pacu” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum
sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang
kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa
sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Tepuk dada, tanya
selera.