Tuesday, 23 July 2013

BERCELARUNYA AKU...... YA ALLAH>>< BERIKANLAH AKU KEKUATAN

kadang2, apa yang kita rasa baik, boleh menjadi satu perkara yang menjadi signal kepada sesuatu yang lebih berat dan buruk. aku rasa seperti sudah menemui jalan penyelesaian terhadap kesakitan yang sering membelenggu diri, rupanya ia adalah satu signal tentang kehilangan sesuatu.... Aku rasa tersentap ... keliru dgn pendapat dr. puas sudah aku mencari alternatif rawatan secara islam.. apakah, salah aku menilai beransur hilangnya rasa sakit ini sebagai satu petanda ada jalan kesembuahn buat aku?? macam2 yang aku dengar dan baca tentang PID, risiko pembedahan, risiko selepas pembedahan... bolehkah aku bersikap relax dan tenang dengan apa yang aku baca, aku dengar dan aku lalui. kata doktor, berdasarkan imbasan MRI, keadaan aku kritikal.. pun begitu, pada aku tidak pula seteruk mana. kata doktor, ia normal sebab seraf2 kita semakin hilang rasa... akan sampai ssatu tahap pesakit mungkin kehilangan rasa dan gagal memandu kereta... sape yang tidak tersentap dengan berita seperti ini kan...?
disaat aku memerlukan sokongan dan kekuatan..., hanya Allah sahaja tempat aku mengadu ddan menyandarkan segala keresahan, memohon doa dan belas ehsan dariNya... aku takut andai sesuatu terjadi terhadap aku.. bagaimana nasib anak2 ku ini, yang masih perlukan aku,,, perjalanan mereka masih panjang dan jauh..... aduh...........

Saturday, 13 July 2013

BERSIHKAH HATI KITA

“ Jika engaku merasakan kekesatan dalam hatimu, maka duduklah dengan orang-orang yang berzikir dan orang-orang zuhud.”

Ahmad bin Abi Al- hawari Ad Damsyiqi
——
Setiap hari, hati kita terdedah kepada “kepanasan” udara jahiliyah (menghirup bau-bau dosa, maksiat dan noda) yang akan menyairkan serta melunturkan keimanan kita kepada Allah SWT.

” Bayangkan, keimanan kita luntur!”

Suasananya panas, membahang dan mendidihkan – jiwa kita yang asalnya disimbahi ketenangan, kebahagiaan dan ketenteraman ruh iman kian hilang keasliannya. Hati dipenuhi dengan kegelisahan, ketidaktentuan dan bebanan jiwa yang memberatkan. Terkena kemudaratan jahiliyah.

” Hati kian hitam, kotor, jijik, kaku dan semakin gersang!.”

Wahai Para Pendosa! KOTOR membelenggu kalian

Bagikan tersentak dan terkedu.
Memo ini adalah untuk kita – wahai pendosa, agar merenungi diri dan mendalami diri yang dikotori dengan kejelekan dan kebusukan dosa yang menjijikan. Anda sedang bersama-sama KOTOR.
Wahai pendosa yang terhina, hancurnya sesuatu bangsa, rosaknya jiwa, berpecahnya hubungan kekeluargaan, retaknya sebuah perhubungan dan bersimpang siurnya pemikiran, hanyalah akibat dari dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR meruntuhkan keamanan dan keteguhan bangsa kita.
Wahai pendosa yang terbelenggu, terhalangnya rezeki, kerasnya hati, dan mengeringnya air mata, hanyalah akibat dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR membuatkan kalian hilang kepekaan dan kesensitifan perasaan.
Wahai jiwa-jiwa pendosa yang hitam, besarnya kemurkaan Allah, besarnya kekhuatiran dan ketakutan menimpa manusia, hanyalah akibat dari dosa-dosa noda dan kemaksiatan. KOTOR itu membebankan anda.
Wahai pendosa yang berwajah keruh, ketahuilah bahawa diciptakannya neraka yang dahsyat serta pemandangan seksa yang pedih, hanyalah akibat dari dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR inilah yang akan mengheret anda ke lembah azab yang memedihkan.
Wahai pendosa yang berhati keras, dosa yang engkau lakukan itu menyebabkan perasaanmu sempit, terhimpit, sedih, resah, cemas dan diselubungi keputus asaan. KOTOR ini membelenggu jiwa anda.
Wahai pendosa yang lalai, ketahuilah kalian berada dalam keadaan Kotor. Jiwa kalian sebenarnya diselubungi kejijikan, kekotoran dan kejelekan. KOTOR adalah hayat dan kehidupan anda. Anda sebenarnya mencintai KOTOR!
Ingatan ini buat sesiapa sahaja termasuk diri ini
Wahai diri dan semua yang menyulusuri kehidupan ini
Tidak dapat lari dari tercalit dengan calitan dosa dan noda
Koreksilah diri, semoga memo ini menjadi ingatan yang sangat berguna

Wahai para pendosa yang menggerakan KOTOR!
Jika kalian terlanjur di dalam lembah dosa, maka bersegeralah. Bersegeralah dengan lafaz taubat dan istighfar. Bertaubatlah wahai diri. Nurani, jiwa dan hati kita harus dibersihkan, dijernihkan dan diputihkan segera.
Titik-titik hitam, calaran dan gurisan terukir dihati kita. Semuanya akibat, perbuatan dosa kita sendiri. Ya. Inilah kesan dosa, noda dan maksiat kita sendiri.

KOTOR : Kotor hati
KOTOR ini sedang digerakan oleh kalian. Kalian mengagung-agungkan KOTOR. Jiwa begitu ghairah dan asyik dengan KOTOR. Nafsu memuja-muja aktiviti KOTOR tanpa rasa bersalah.
KOTOR ini harus dihalang, diboikot dan disekat dalam kehidupan kita semua. KOTOR ini menghancurkan keharmonian, ketenteraman dan kedamaian. KOTOR inilah yang menghilang keaslian keBERSIHan jiwa dan hati kita.
KOTOR bukanlah pilihan kita. Ia tidak memberikan apa-apa manfaatkan kepada kehidupan dan life style kita. Ayuh, marilah kita gantikan KOTOR ini dengan budaya hidup yang menjadi anjuran Islam. Islam suka dan gemarkan BERSIH.


Ia haruslah menjadi agenda utama kehidupan kita.
Ia perlu digerakan secara bersepadu dan bersistem.
Ia adalah nadi kekuatan untuk kita pulihkan jiwa yang ternoda.
Ia bukannya main-mainan.
Ia adalah sesuatu yang serius, penting dan utama.
Pedulikah kita tentang hakikat BERSIH hati yang perlu diservis setiap hari? Bahkan, soal ini jarang sekali mendapat keutamaan dalam agenda seharian manusia. Betulkan kenyataan ini?
 
Tuntutan BERSIH HATI (BERSIH). Lima penawar hati  yang akan menjernihkan semula nurani anda. Ia akan mencahayakan kembali cahaya putih di dalam jiwa anda.
Jom BERSIH HATI dengan 5 penawar hati! Tuntutan yang perlu digerakan dalam kehidupan kita setiap hati. Ayuh, HATI anda mempunyai hak yang harus ditunaikan sesegera mungkin.

BERSIH
[1] Bersahabat dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
[2] Sentiasa membaca Al-Quran dengan tadabur, khusyuk dan mengingsafi.
[3] Memelihara perut daripada makanan yang HARAM
[4] Melakukan solat malam (tahajud)
[5] Selalu berzikir dan berdoa kepada Allah SWT

Lima penawar hati ini, merupakan saranan oleh Imam Abul Laith al-Samarqandi, di dalam Kitab Tanbihul Ghafilin.

BERSIH hati, BERSIH fikrah
BERSIH fikrah, BERSIH perjuangan
BERSIH perjuangan, BERSIHLAH masyarakat
BERSIH masyarakat, BERSIHLAH dunia dari KEJAHILAN

Mencari Taqwa...

~Taqwa ubat penyembuh duka dalam jiwa~
Selama lebih sebelas tahun kita mengerah tenaga, membanting tulang untuk melayakkan kita memasuki ke alam university. Bermula dari sekolah rendah selama 6 tahun diteruskan lagi dengan sekolah menengah 5 tahun berikutnya. Segala daya sudah tentu dicurahkan agar hasilnya juga turut menggembirakan.
Begitu halnya dengan ramadhan yang bakal tiba. Seharusnya kita sebagai hamba pendosa melihat ia merupakan rahmat dari Yang Maha Esa. Sebelas bulan telah berlalu. Sepatutnya kita diulik rindu kerana ramadhan merupakan musim untuk kita beriman. Bukan beerti, beriman dalam musim tertentu, tetapi ia adalah suatu tempoh masa persediaan dalam menjalani reality kehidupan mendatang.
Jika ramadhan dianggap seperti musim bunga maka ia mekar dengan pahala. Jika diibaratkan musim luruh maka ia adalah daun-daun dosa yang bakal gugur. Jika diibaratkan musim sejuk maka ia dingin dari segala kemaksiatan. Jika diibaratkan musim panas, maka ia bahang pembakar dosa dan semangat untuk beramal pada-Nya.
Ramadhan akan tiba seperti biasa. Tetapi cara kita menyambut ramadhan itu yang menjadikan ia berbeza. Jika dengan persiapan yang terperinci dari sudut ibadah, fizikal, mental dan rohani yang telah kita bina, maka dengan izin-Nya, ramadhan yang bakal tiba tidak akan berlalu dengan sia-sia. Berlainan pula jika kita membatu diri diam tiada persediaan maka ia tidak ubah seperti yang sebelumnya.

Definisi Taqwa
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah:183)
Allah menjanjikan hadaf daripada berpuasa yang diwajibkan dalam bulan ramadhan itu adalah ketaqwaan seperti yang dirakamkan dalam ayat di atas. Kita bisa berbangga di dunia memperoleh pelbagai anugerah di dunia. Pelajar cemerlang, pekerja terbilang dan pelbagai lagi. Walhal ia tidak membawa erti jika tiada kaitan hubungan dengan Allah. Berbeza dengan anugerah taqwa yang mana sudah tentunya melayakkan kita untuk mengecapi syurga. Sebab itu Allah menjadikan asas perbezaan antara manusia bukan dengan pangkat, harta dan paras rupa tetapi mereka yang paling bertaqwa.
Allah s.w.t berfirman:
 Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). (al-Hujurat:13)
Begitu adilnya Allah. Apapun kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri manusia ia tidak menyebabkan manusia itu terhina, tetapi mereka yang cuba menjauhkan diri dari rahmat Allah dengan tidak bersungguh mengejar janji-Nya melalui darjat taqwa maka dia sebenarnya menuju ke gerbang celaka.
Pelbagai definisi yang disebutkan oleh ulama’ dalam menggambarkan maksud taqwa yang mana perbezaan ini sebenarnya memberi manfaat yang sangat besar pada diri kita dek kerana ia seolah-olah menjadikan setiap sisi kehidupan adalah mendorong manusia ke arah ketaqwaan selagi mana ada usaha yang berterusan.
Antaranya seperti yang disebutkan oleh Saiyyidina Ali r.a dalam mengertikan taqwa iaitu sebagai rasa takut kepada Allah s.w.t, beramal dengan al-Quran dan sunnah rasul-Nya, hidup dalam dalam keadaan besederhana, dan bersedia menghadapi hari kemudiaannya(akhirat). Definisi ini boleh dikupas dengan lebih mendalam untuk sama-sama kita praktikkan dalam kehidupan.
  1. Rasa takut kepada Allah
Manusia secara spesifiknya orang beriman akan mudah rasa takut dengan Allah taala. Ini kerana sifat takut itu lahir dek kerana mengingatkan azab-Nya atau bimbang kita akan jauh dari rahmat Yang Esa. Padahal dengan kedua perkara ini sebenarnya melayakkan kita memperoleh syurga. Hal ini disebabkan melalui rasa takut inilah manusia berusaha meninggalkan apa sahaja yang dilarang dan bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang diperintahkan
Malangnya manusia itu mudah lupa hatta bagi kaum lelaki yang mana saban Jumaat diulang-ulang nasihat menyeru kita supaya bertaqwa, namun sejauhmana ia sampai ke dalam jiwa kita dan melahirkan rasa takut yang berbekas dalam setiap perbuatan kita? Justeru, suka untuk dinukilkan ayat tersebut sebagai peringatan bersama agar kita menjadikan ia tujuan dan matlamat utama dalam kehidupan baik di dunia atau akhirat kerana mati dengannya adalah satu kemuliaan.
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Ali-Imran:102)
2. Beramalkan dengan al-Quran dan rasul-Nya.
Kehidupan manusia tidak lari dari ujian tidak lari dari gangguan. Kadang-kadang musibah-musibah ini membawa jauh dengan tuhan. Namun hakikatnya manusia itu boleh diselamatkan selagi mana dia betul-betul menggenggam erat pada sumber wahyu manusia sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:
Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpeguh teguh pada keduanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah rasul-Nya. (Muwatta’:1678)
Itulah janji Allah yang melalui lisan baginda s.a.w kepada kita. Menariknya hadis ini tidak memberi tahu kepada kita sekadar membaca dan bertadabbur tetapi menggesa kita untuk berpegang teguh padanya yang merangkumi pembacaan, tadabbur, mengamalkan juga berusaha menyebarkannya. Moga-moga dengan usaha kita itu akan tumbuh bibit taqwa dalam jiwa kita dan menjadi asbab mendapat rahmat-Nya.
Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. (al-An’am:155)
3. Hidup dalam keadaan besederhana (qana’ah)
Dengan ketaqwaan ia juga membentuk sifat sensitive dalam jiwa insan. Peka terhadap keadaan sekeliling isu semasa berkaitan kemanusian tanpa melupakan isu kenegaraan. Melalui sikap rendah hati ini akan mendidik manusia agar bersikap sederhana. Bukan bererti sederhana kita tinggalkan dunia tetapi sederhana yang membawa kita dari memandang kesempitan dunia dalam setiap perkara kepada keluasan dunia dan akhirat dalam setiap amalan.
4. Bersedia menghadapi hari kemudian
Hakikat kesudahan bagi setiap insan hanya terdapat dua pilihan sama ada syurga yang penuh kenikmatan atau neraka yang amat menyeksakan. Sudah tentu bagi orang beriman syurga menjadi pilihan. Tetapi jalan menuju alam sana itu memerlukan persediaan sebagaimana persediaan kita dalam perkara dunia seperti peperiksaan dan sebagainya lebih lagilah dalam urusan akhirat yang mana kita akan kekal di sana untuk selamanya.
Justeru itu mereka yang memandang dunia ini hanya tempat permusafiran maka dia memandang bahawa akhirat itu matlamat utama, maka dia akan berusaha sebaiknya untuk membumikan cita-cita. Bagi mereka beranggapan kehidupan dunia ini sebagai pedagang maka dia akan berjalan merantau mencari keuntungan sebagai bekalan untuk hari kemudian. Oleh itu, mereka yang bijak adalah yang hidup di dunia tetapi melihat akhirat dalam amalnya kerana hakikat di sana penuh kenikmatan.
Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (al-Qasas:83)

Kepentingan taqwa
Taqwa amat dominan dalam kehidupan manusia. Jika merujuk kepada ayat-ayat berkaitan dengan dakwah para nabi kita akan melihat semuanya berkaitan dengan persoalan taqwa kerana ia membabitkan seruan kepada aqidah yang benar. Hal ini kerana taqwa juga boleh dikaitkan dengan lafaz yang agung iaitu  ( لا إله إلا الله ).
Seperti firman Allah s.w.t:
(Ingatlah) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap Islam)  perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada “Kalimah Taqwa”, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan “kalimah Taqwa” itu serta menjadi ahlinya. (al-Fath:26)
Hakikat taqwa berkaitan dengan ubudiyah manusia dengan Rabb-Nya yang merupakan batu asas dalam keimanan. Maka tidak dinamakan sempurna iman seseorang tanpa ada taqwa dalam jiwa. Di samping itu, taqwa juga membawa kepada ketenteraman  selagi mana kita berusaha mendapatkan dan  terus berpegang dengannya.

Kelebihan Taqwa
Dalam al-Quran banyak ayat menerangkan kelebihan-kelebihan taqwa. Antaranya:
1. Mendapat cinta Allah kerana tiada cinta yang lebih mulia dari mendapat cinta dari-Nya.
 maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa. (ali-Imran:76)
2. Penawar  mengalahkan bisikan syaitan
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (al-Aa’raf:201)
3. Asbab terbuka pintu rezeki dan dipermudahkan urusan
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). (At-Talaq:2)
4. Sebaik-baik bekalan untuk hari kemudian
dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah bertaqwa. (al-Baqarah:197)
5. Peroleh kejayaan dunia dan akhirat
Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita. (Az-Zumar:61)
Pelbagai lagi kelebihan yang disebutkan. Apa yang penting bukan sekadar tahu akan kelebihan tetapi usaha yang berterusan untuk mendapatkannya. Sekalipun jika kelebihan-kelebihan khusus tidak kita ketahui secara terperinci, hakikatnya jika benar sijil taqwa itu diperolehi maka berbagai jenis kenikmatan dan kelebihan akan kita kecapi.

Kesimpulan : Mengapa mesti taqwa?            
Kerana taqwa memandu manusia bailk kepada Rabbnya dengan kemenangan hakiki dalam syurga yang kekal abadi.
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (an-Nur:52)
Oleh itu, berkesempatan dengan bulan ramadhan yang menjanjikan taqwa sebagai ganjaran utama, maka sepatutnya jiwa orang beriman yang cakna tidak akan melepaskan peluang ini dengan sia-sia bahkan menjadikan ia suatu titik tolak untuk beramal dengan sebaik-baiknya.

Rujukan
Tafsir Fizilal Al-Quran.

SIFAT MANUSIA ( SEPERTI DI DALAM AL QURAN )

Manusia – Banyak berbeza, namun ada perkara yang sama

 Sifat-sifat ini diambil dari perkataan (إنسان) yang membawa maksud manusia dalam bahasa Malaysia. Uniknya kebanyakan lafaz yang menyebut perkataan ini disertakan lazim sifat-sifat manusia.

Tabiat Manusia
Manusia dilahirkan dalam pelbagai bangsa, agama, persekitaran dan budaya. Tetapi manusia sebenarnya mempunyai beberapa sifat yang sama yang disebutkan dalam Al-Quran yang perlu kita teliti untuk dijadikan pedoman. Adapun sifat-sifat yang tercatat pada lembaran kitab suci itu, kebanyakan bersifat negatif yang menggambarkan bahawa manusia itu lemah. Mengapa?
Seperti yang disebutkan oleh Allah s.w.t:
“Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Fatir:15)
Tiada ruang penafian bahawa Allah berkuasa atas segalanya sama ada di langit atau di dunia. Justeru itu, Allah jadikan manusia bersifat lemah supaya manusia bisa kembali kepada-Nya dalam apa jua keadaan. Namun, dengan rahmat-Nya, Dia tidak membiarkan manusia tanpa pergantungan dan jalan keluar. Lantaran itu, Allah utuskan nabi dan turunkan Al-Quran bagi memberi peringatan.

Sifat-sifat manusia
1.  Lemah
Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (An-Nisaa:28)
2.  Tidak Bersyukur
Dan Dia lah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur. (Al-Hajj:66)
Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar. (Fussilat:51)
Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (AL-‘Adiyat:6)
3.   Berputus asa
Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. (Hud:9)
Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri  dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa. (Al-Israa’:83)
Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah). (Fussilat:49)
4.  Tidak menghargai nikmat Allah
Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Ibrahim:34)
5.  Suka membantah
Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya. (Al-Nahl:4)
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya. (Al-Kahfi:54)
6.  Terburu-buru
Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru. (Al-Israa’:11)
Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya, Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu, maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya). (Al-Anbiyaa’:37)
7.  Kufur nikmat
Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah, maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah). (Al-Israa’:67)
8.  Bakhil dan kedekut
Katakanlah (wahai muhammad): “jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut” (Al-Israa’:100)
9.  Zalim
sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Al-Ahzab:72)
10.  Sombong
Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami, kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu) (Az-Zumar:49)
11.  Tidak mengenang budi
Dan mereka (yang musyrik mempersekutukan Allah dengan) menjadikan sebahagian dari hamba-hamba Allah sebagai anak bagiNya. Sesungguhnya manusia (yang demikian sesatnya) sangat tidak mengenang budi, lagi nyata kufurnya. (Az-Zukhruf:15)
12.  Resah dan Gelisah
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut)”. [Al-Maarij:19]
Disebutkan seterusnya bahawa manusia yang resah gelisah itu mempunyai dua ciri yang utama iaitu:
1. Apabila ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah [70:20]
2. Apabila diberi nikmat dia kedekut dan bakhil [70:21]

13.  Mudah terpedaya
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? (Al-Infitar:6)
14.  Melampaui batas
 Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (Al-‘Alaq:6)
15.  Kerugian
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. (Al-‘Asr:2)
Solusi Sikap?
Kita melihat begitu banyak sifat manusia yang disebutkan oleh Allah. Adapun, ia sebenarnya lebih banyak dari apa yang dikemukakan secara tidak langsung dari lafaz (إنسان). Tetapi adakah sifat-sifat ini berbentuk konkrit yang tidak bisa diruntuhkan dari jiwa-jiwa manusia?
Justeru itu, sebenarnya Allah jualah yang memberi solusi bagaimana untuk merobek sifat-sifat ini dari terus bersarang dalam jiwa manusia. Mungkin terdapat lebih banyak solusi yang lain. Cuma beberapa solusi yang saya rasa amat penting untuk sama-sama kita usahakan untuk menghapuskan sifat ini dari kamus kehidupan.

Pertama: Menjaga solat dengan baik
“Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya”(Al-Ma’arij:23)
Dalam menyebutkan sifat resah dan gelisah yang disebutkan di atas beserta ciri-cirinya, Allah merakamkan pengecualian selepas itu berkenaan sifat ini terhadap orang yang-yang solat dan tetap melazimi solatnya. Namun, solat ini bukan sahaja dalam rangka perlaksanaannya tetapi penjagaan terhadap solat dari segi ketepatan waktu dan kekhusyukannya. Hal ini kerana dalam ayat lain Allah menyifatkan orang-orang mukmin itu mengambil berat akan hal demikian.
Di samping itu, solat juga disifatkan sebagai suatu  amalan yang bisa membersihkan manusia dari segala yang buruk dan memotivasikan diri dalam rangka berterusan ke atas kebaikan.
Kedua:  Mengeluarkan sedekah
“Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum”(Al-Ma’arij:24)
Selain menjaga solat, Allah juga menyebutkan berkenaan tentang pengeluaran wang pada bukan kegunaan kita iaitu sedekah. Sedekah sebenarnya boleh menjatuhkan dinding ego dan kesombongan seorang itu daripada terus bermahkota perasaan besar diri terutama bagi golongan bangsawan. Selain daripada memberi ketenangan kepada si penerima, bersedekah membolehkan manusia merasai kesusahan orang lain disamping tidak berlaku zalim kepada mereka yang memerlukannya.
Ketiga: Berpesan kepada kebenaran dan kesabaran
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan kepada kesabaran. (Al-Asr:3)
Allah mempotretkan manusia sentiasa dalam keadaan rugi kecuali mereka yang berusaha beriman dengan sebenar-benar keimanan dengan melakukan amal kebaikan disamping turut sama berpesan kepada orang lain tentang kebenaran dan menjauhi kemaksiatan. Justeru, dalam membasmi sifat-sifat buruk yang ada dalam diri manusia, perkara yang penting adalah kita saling menasihati sesama kita kearah kebaikan supaya manusia sentiasa kembali ingat tentang hari pembalasan.

Kesimpulan
Kelemahan ini tidak dapat lari dari kehidupan manusia kerana realiti kehidupan insan itu memerlukan pergantungan kepada yang lebih besar supaya manusia terus kuat menghadapi sifat manusia yang mudah alpa dan leka terutama ketika menikmati kesenangan. Berlainan ditimpa kesusahan baru kita berebut-rebut untuk ingat kepada tuhan.
Moga dengan sedikit perkongsian ini bisa menyedarkan diri kita supaya lebih kuat untuk mengharungi cabaran demi sebuah perubahan kerana kita tidak selamanya hidup di dunia. Sampai suatu masa kita akan dijemput oleh-Nya pulang. Justeru, adakah kita tidak merasa malu kembali kepada-Nya dengan sifat-sifat yang jelek ini sedangkan Dia telah banyak memberi peringatan dalam kitab-Nya ini?
Tepuk dada tanya iman kita~